IMPIAN SAIFUDDIN MAHU ANWAR DUA PENGGAL JADI PM BARANGKALI AMAT SUKAR MENJADI KENYATAAN

 

Setiausaha Agung PKR merangkap Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengimpikan Anwar Ibrahim akan bertahan sebagai Perdana Menteri selama dua penggal.

“Sekarang dalam penggal pertama, insya-Allah dah ada kejelasan untuk memasuki penggal kedua. Itulah impian kita,” katanya dalam episod terbaru Keluar Sekejap.

Saifuddin juga menyifatkan Anwar mempunyai kesihatan yang ‘tip-top’ walaupun sudah berusia 77 tahun.

Malah tambah beliau, “dia lebih sihat daripada saya.”

Berpijak di bumi nyata, impian Saifuddin itu yang sebenarnya mewakili impian PH, barangkali teramat sukar untuk direalisasikan menjadi kenyataan.

Pertama, Anwar menjadi Perdana Menteri bukanlah melalui kekuatan PH secara mutlak kerana gabungan itu hanya menang 82 kerusi Parlimen saja pada PRU15 lalu.

Termenjadinya Anwar menduduki kerusi Perdana Menteri adalah, pertama sekali, kerana disokong oleh UMNO/BN yang mempunyai 30 kerusi.

Setelah sokongan UMNO itu, barulah kemudian menyusul sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

Persoalannya, berapa kerusi PH boleh menang pada PRU16 akan datang dan masih mampukah UMNO/BN bertahan sekurang-kurangnya memenangi 30 kerusi Parlimen?

Berdasarkan penolakan segmen pengundi Melayu kepada PH dan juga kepada UMNO/BN, bahkan hakikat itu boleh dilihat pada keputusan PRN enam negeri Ogos lalu, bukan saja kemenangan PH dijangka menyusut, bahkan nasib UMNO juga diramalkan lebih buruk lagi dalam PRU16 nanti.

Ramai yang menjangkakan, kalau pun tidak tinggal enam kerusi, UMNO boleh jadi hanya mampu menang 20 atau 16 kerusi saja selepas ini.

Dengan kedudukan itu, bagaimana UMNO/BN mampu menyokong untuk mengekalkan kedudukan Anwar bagi penggal seterusnya?

Kedua, hubungan UMNO dan DAP dan UMNO dan PKR masih tidak menunjukkan keserasian, meskipun mereka sama-sama berada dalam kerajaan.

Beberapa pemimpin UMNO – tak perlu disebutkan nama mereka – didapati masih suka menyerang DAP dan pemimpin tertentu dalam PKR dalam isu-isu tertentu berkaitan kerajaan.

Semua ini menimbulkan ketidakyakinan kepada rakyat untuk terus mengekalkan kerajaan madan dan Anwar sebagai Perdana Menteri lagi.

Lebih daripada itu, berikutan sentimen Melayu/Islam terus dimainkan oleh blok pembangkang, keberadaan UMNO bersama DAP dalam kerajaan tidak langsung menambahkan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.

Ketiga, sokongan rakyat kepada parti-parti yang membentuk kerajaan, termasuk kepada Anwar sendiri, tidak dilihat bertambah baik sejak terbentuknya kerajaan lebih setahun yang lalu.

Kecaman, rasa tidak puas hati dan pertikaian terhadap Perdana Menteri serta kerajaan, selain semakin ketara di pelbagai platform media sosial sejak kebelakangan ini, malah boleh didengar di merata-rata saja secara terbuka.

Selain janji reformasi dirasakan begitu perlahan, semua janji-janji Anwar untuk melakukan itu dan ini yang diucapkannya sebelum beliau bergelar Perdana Menteri dahulu, belum ada satu pun yang menjadi kenyataan.

Sebenarnya janji-janji itulah yang mengikat hati sebahagian besar rakyat untuk terus berjuang dan menyokong bagi menjadikannya sebagai Perdana Menteri selama lebih 25 tahun lamanya, namun kini ramai yang mula bersuara hampa.

Sokongan rakyat kepada Anwar juga didapati tidak bertambah setelah enam Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepadanya.

Yang bertambah hanyalah sokongan kepada Anwar di Parlimen, tetapi tidak menbawa sokongan rakyat di lapangan.

Keempat dan paling buruk, jentera penerangan dan komunikasi kerajaan masih lagi berada di tahap sangat lemah dan seperti tidak memiliki deria rasa.

Di sebalik serangan dan kecaman kepada Perdana Menteri dan kerajaan makin mengasak di semua platform media sosial, tetapi jentera penerangan dan komunikasi kerajaan, malah jentera peperangan, masih lagi goyang kaki, relaks dan tidak terpanggil untuk melakukan serangan balas.

Hampir tidak ada jawapan dan penjelasan daripada terhadap semua isu yang dijadikan modal serangan kepada kerajaan, khususnya terhadap Anwar, malah ia seolah-olah dibiarkan menjari makanan yang enak untuk ditelan oleh rakyat setiap hari sehingga tarikh pengundian akan datang.

Jika semua keadaan ini berterusan sehingga PRU16, celah mana Anwar mampu diimpikan dapat melintasi garisan penggal kedua? – ShahbudinHusin 25/03/2024.