TIADA ‘DERAF PERJANJIAN’ KERAJAAN – PEMBANGKANG – TPM

 


Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata ‘draf perjanjian’ yang diperkatakan pembangkang mutakhir ini tidak wujud.

Fadillah, yang diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan untuk Ahli Parlimen, berkata beliau tidak ada menyerahkan sebarang draf seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

“Dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, saya hanya mendengar permohonan Perikatan Nasional (PN) dan mendengar apa yang mereka tawarkan. Tiada sebarang dokumen diberi mahupun diterima.

“Justeru tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara kerajaan dan pembangkang seperti dakwa,” katanya dalam kenyataan.

Menjelaskan pertemuan itu, Fadillah berkata ia sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka.

“Malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ pun,” tambahnya.

Di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Hamzah berkata pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan daripada Fadillah.

Ahli Parlimen Bersatu, Rosol Wahid, hari ini dilapor berkata Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun untuk wakil rakyat pembangkang dalam “draf tawaran perjanjian baharu”.

“Adakah Rosol sudah lihat ‘draf’ itu?” soal Fadillah.

“Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari ketua pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak.”

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kerajaan belum mendapat “apa-apa yang substantif” daripada pembangkang pada waktu ini.

“Kita kena ‘back to drawing board’. Kalau ada Ahli Parlimen pembangkang merasakan perjalanan perbincangan lambat atau lembab jangan salahkan kerajaan.

“Kena tanya ketua pembangkang kenapa ia lambat,” katanya yang juga menteri komunikasi.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/24/draf-perjanjian-kerajaan-pembangkang-tak-wujud-kata-tpm/

 


No comments: