KEJAYAAN PMX










 Selagi hayat dikandung badan, saya berikrar untuk tidak berputus asa berjuang demi rakyat. Sebagai Perdana Menteri, saya telah diamanahkan untuk melunaskan janji reformasi yang saya laungkan selama ini. Banyak yang Kerajaan perlu lakukan untuk merubah kebobrokan dalam institusi negara dan ekonomi serta mengangkat darjat kehidupan rakyat.


Hatta, sukacita saya berkongsi bahawa Kerajaan MADANI telah meluluskan pelaburan langsung sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023. Ini merupakan jumlah pelaburan terbesar yang pernah direkodkan oleh mana-mana kerajaan dalam sejarah Malaysia. Ini adalah satu manifestasi keyakinan yang nyata kepada Kerajaan MADANI, kepada cita-cita kita bersama.


Dengan pelaburan yang baharu diluluskan ini, insya-Allah ia akan mula mengalir ke dalam ekonomi negara dalam masa terdekat.

 

Pelaburan langsung baharu ini, waima domestik atau antarabangsa, membawa makna yang melangkaui daripada sekadar pekerjaan baharu yang lebih bermakna. Pelabur-pelabur ini memberi tanda keyakinan terhadap negara kita, keyakinan yang amat mencukupi untuk bukan sahaja melaburkan wang mereka di sini, bahkan melabur kepada kalian untuk dikongsi dengan semua serta dikembangkan berganda-ganda.


Pelaburan baharu bermaksud matlamat baharu, pendekatan segar untuk mencapai kemajuan ekonomi, serta peluang baharu bagi lebih ramai rakyat Malaysia melonjakkan tahap pemikiran dan kemahiran agar menjadi berdaya saing dalam ekonomi abad ke-21.

 

Janji saya kepada kalian adalah Kerajaan MADANI tidak akan berhenti di sini sahaja. Lebih banyak pelaburan baharu yang kami sedang usahakan. Kerangka Ekonomi MADANI yang disokong dengan kertas-kertas dasar Pelan Hala Tuju Peralihan Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bakal menjayakan transformasi ekonomi Malaysia.


Industri-industri baharu seperti keterjaminan makanan, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu ini akan menarik minat lebih ramai pelabur serta merancakkan lagi ekonomi negara. Walhasil, manfaatnya akan dikecapi rakyat.


Saya tahu keadaan hari-hari ini sangat mencabar untuk ramai orang. Yakinlah bahawa Kerajaan MADANI peka akan rintihan kalian. Saya mendengar kalian.

 

#MalaysiaMADANI


No comments: