ANWAR PATUT SERAH JAWATAN MENTERI KEWANGAN KEPADA RAFIZI


Akibat kejatuhan nilai ringgit, Anwar Ibrahim selalu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kini dihentam dengan teruk daripada segenap sudut, tak kira siang atau malam.


Lebih teruk lagi hentaman itu kerana tindakan Anwar sendiri cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan media berkenaan kejatuhan ringgit itu, sebaliknya menyerahkan kepada Gabenor Bank Negara untuk menjawabnya.


Di mata banyak pihak, tindakan Anwar itu dilihat sebagai kurang rasa pertanggungjawaban kerana sebagai Perdana Menteri sekaligus merangkap Menteri Kewangan, tiada siapa selain beliau yang paling layak untuk menjawab isu kejatuhan nilai ringgit.


Lebih-lebih lagi dalam banyak episod kejatuhan nilai ringgit sebelum ini, Anwarlah yang paling lantang menyalahkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terdahulu berkaitan bahana itu.


Di Parlimen semalam, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin tidak melepaskan peluang menghentam Anwar, termasuk menyarankan agar Perdana Menteri memecat Menteri Kewangan atau dalam erti kata lain, Anwar mesti memecat Anwar.


Adusssss….


Dengan segala apa yang berlaku kebelakangan ini, terutama berikutan isu kejatuhan nilai ringgit masih menjadi percakapan ramai, Anwar harus realistik dan sedar bahawa jawatan Menteri Kewangan adalah beban kepadanya.


Sebagai Perdana Menteri yang sibuk dengan pelbagai urusan, memegang jawatan Menteri Kewangan dalam waktu yang sama hanya menjadikan portfolio itu kurang diberi tumpuan, sedangkan ia adalah kementerian paling penting.


Walaupun ada Menteri Kewangan Kedua, Amir Hamzah Azizan untuk membantunya, peranan, komitmen dan tandatangan Anwar selaku Menteri Kewangan Pertama tetap lebih utama.


Dan melihat kepada apa yang berlaku sejak lebih setahun yang lalu, harus diakui bahawa Anwar seperti tidak mampu memikul dua tanggungjawab selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara sekaligus dalam waktu yang sama.


Selain banyak kerja perlu dilakukan, berlonggok fail menunggu untuk diselesaikan dan kedudukan ekonomi yang lebih mencabar perlu ditangani, di waktu yang sama Anwar itu sendiri bukan lagi sosok yang masih muda serta banyak stamina dalam tubuhnya.


Dalam usia senja, banyak keterbatasan dalam kehidupan akan datang dengan sendirinya tanpa diundang.


Untuk itu, bagi meringankan beban dan bagi memastikan portfolio kewangan negara dapat diurus dengan tumpuan yang penuh, adalah baik jika Anwar dapat segera menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Rafizi Ramli.


Dengan latarbelakang ekonomi yang dimilikinya serta mempunyai pengalaman kerja di pelbagai syarikat ternama, Ahli Parlimen Pandan itu adalah paling layak memegang jawatan Menteri Kewangan.


Jawatan Menteri Ekonomi yang disandangnya sekarang dengan tidak begitu banyak agensi serta peranan di bawahnya, lebih menjadikan Rafizi terbatas untuk menampilkan bakat kepimpinannya menangani pelbagai isu ekonomi yang berlaku dalam negara.


Lagi pula, sebagai Timbalan Presiden PKR yang dilihat sebagai pelapis untuk menggantikan tempat Anwar yang sudah berusia 77 tahun, meletakkan Rafizi sebagai Menteri Kewangan adalah suatu proses latihan yang seterusnya kepada beliau sebelum mengambil alih teraju parti.


Tambahan lagi jika Anwar sendiri percaya Rafizi adalah pemimpin paling sesuai menggantikannya menerajui PKR, beliau pasti tiada masalah, bahkan dengan senang hati memberi lebih pendedahan kepada Ahli Parlimen Pandan itu.


Apabila Rafizi dilantik sebagai Menteri Kewangan dan sudah ada pula Menteri Kewangan Kedua, jawatan Menteri Ekonomi yang ada sekarang sudah boleh dimansuhkan bagi mengelakkan pertindihan, selain dapat menjimatkan wang negara.


Anwar sebaliknya boleh menumpukan sepenuh jiwa raganya kepada tugas Perdana Menteri yang memang didambainya sejak lebih 25 tahun lamanya.


Selain itu, mengimbas sejarah perjuangan PKR sebelum ini, memang sejak awal lagi tidak sepatutnya pun Anwar selaku Perdana Menteri turut sama memegang jawatan Menteri Kewangan.


Berikutan Najib Razak memegang kedua-dua jawatan itu sebelum ini, PKR begitu lantang mengkritiknya, sambil menjanjikan kepada rakyat jika mereka diberi kuasa, keadaan itu sama sekali tidak akan dibenarkan berlaku.


Kini, belum terlambat untuk Anwar dan PKR untuk menginsafi janji yang telah dimungkiri, lalu segera membetulkannya.


Barangkali inilah rahmat tersembunyi yang Tuhan ingin tunjukkan di sebalik kejatuhan nilai ringgit terburuk yang berlaku di ketika Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekarang ini.


Satu perkara lagi yang perlu diingat, tiada istimewanya pun jawatan Menteri Kewangan itu di sisi seorang Perdana Menteri kerana sejarah Najib telah membuktikan beliau dihenyak lunyai sehingga akhirnya hilang kuasa pada PRU tahun 2018 adalah di ketika memegang kedua-dua jawatan itu.


Dengan itu, eloklah dilepaskan saja kepada Rafizi. – ShahbudinHusin 28/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/28/anwar-patut-serah-jawatan-menteri-kewangan-kepada-rafizi.html



No comments: