Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata kerajaan senada dengan rakyat memanjat kesyukuran serta menjunjung
kasih atas pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perdana Menteri berkata
pandangan jauh dan berwawasan yang dizahirkan oleh baginda menerusi peranan
Raja Berperlembagaan telah memungkinkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi
seperti dinikmati hari ini.
"Lantaran itu, mari
bersama kita raikan permulaan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-17,
Sultan Ibrahim," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata kerajaan MADANI
mendukung sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini
yang ingin melihat negara ini meneruskan tadbir urus yang baik dan telus.
Selain itu, baginda juga mahu
ekonomi negara dipacu agar lebih mampan dan memberi sepenuh perhatian kepada
usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Ini juga merupakan hasrat
jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan
kesejahteraan serta peluang dan masa depan yang lebih baik untuk semua,"
katanya.
*Foto kredit: Foto rasmi YDPA