GANTI ZAHID
HAMIDI UNTUK PASTIKAN UMNO DAPAT KEMBALI SOKONGAN MELAYU – MP PKR
Hassan Karim daripada PKR berpendapat Umno
perlu diterajui muka baharu, tidak hanya “menumpang dahan” Pakatan Harapan (PH)
pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya “rapuh” dalam berdepan PRU16.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, rombakan
pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk
mendapatkan undi Melayu – kumpulan sokongan paling corot diterima gabungan
PH-Barisan Nasional (BN) kini.
Dari segi sokongan orang bukan Melayu, Hassan
berkata gabungan PKR, Amanah, serta DAP yang menjadi anggota penting kerajaan
perpaduan telah teruji dan bakal terus menikmatinya dengan syarat PH tidak
“gila kuasa” sehingga lupa agenda progresif untuk membawa reformasi.
“(Yang) menjadi masalah kepada PH-BN ialah
kemerosotan sokongan Melayu yang boleh diatasi jika Umno dapat membawa sokongan
Melayu kepada gabungan itu.
“Dalam keadaan sekarang sukar selagi Umno
dipimpin presidennya Zahid Hamidi. Selagi Zahid memimpin Umno, orang Melayu
sukar kembali menyokong Umno, BN atau PH-BN,” katanya kepada FMT.
“Umno perlu rombakan pemimpin baharu segar,
berintegriti, dan karisma untuk membawa balik sokongan Melayu kepada Umno, BN
dan kini PH-BN. Jika tidak, Umno bawah Zahid akan menumpang di dahan PH
pimpinan Anwar yang tidak kuat mana pun.”
Rabu lalu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli
Shaari mengeluarkan kenyataan sinis “bersetuju” bayangan diberikan Zahid bahawa
kerjasama PH-BN akan kekal hingga selepas PRU16, yang didakwanya memudahkan
pengundi Melayu membuat pendirian awal.
BN dan PH membentuk kerjasama menubuhkan
kerajaan perpaduan bersama beberapa parti lain selepas tiada gabungan mampu
menubuhkan kerajaan sendiri selepas PRU15.
Penganalisis berpendapat, berdasarkan
keputusan PRN dan PRK pasca PRU15 menunjukkan sokongan Melayu terhadap Umno
dikatakan semakin terhakis selepas hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN di
enam negeri, Ogos tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hassan berkata melaksanakan
dasar pro rakyat seperti subsidi untuk kumpulan bawahan juga boleh menjadi
“jalan lain” untuk PH-BN mendapat sokongan Melayu.
Namun, pada masa sama beliau bimbang kemarahan
orang Melayu akan tercetus jika dilaksanakan rombakan drastik terhadap
perkhidmatan awam seperti penamatan skim pencen untuk kakitangan baharu selain
sistem lantikan kontrak yang didakwanya mungkin tidak berperlembagaan.
Minggu lalu, Zahid yang juga timbalan perdana
menteri berkata pelantikan kontrak penjawat awam hanya untuk tempoh singkat
sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi
tidak berpencen, namun mendapat caruman bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP).
Sumber –
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/31/ganti-zahid-jangan-hanya-tumpang-dahan-rapuh-ph-umno-diberitahu/