PMX MENGADAKAN MESYUARAT MTEN

 



Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang pertama untuk tahun ini. 


Bagi memperkukuh keberkesanan perbincangan dan keputusan, saya telah bersetuju menambah ahli-ahli tetap MTEN terdiri daripada Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Gobind Singh Deo, Menteri Digital; dan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.


Mesyuarat telah menilai kemajuan pelaksanaan ke atas keputusan-keputusan yang telah dibuat MTEN pada tahun lalu. 


Terkait dengan pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah saya luncurkan pada 2 Januari 2024, mesyuarat telah membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah-langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan. 


Ini terutamanya berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.


MTEN hari ini juga telah membincangkan mengenai penambahbaikan tata kelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara. 


Adalah penting bagi Kerajaan mencari satu formula yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi juga kepada pengeluar tempatan terutama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.


Beberapa perkara turut dipersetujui, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisa risiko import. Ketua Audit Negara disaran untuk melaksanakan proses audit bagi sektor-sektor terpilih bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan. Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tata kelola dan pengimportan barangan halal. Manakala, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.


#MalaysiaMADANI



No comments: