MESKI JAWATAN HAMZAH DIKEKALKAN, TAPI KEDUDUKAN AZMIN DALAM BERSATU SEMAKIN DIKUKUHKAN

 

MESKI JAWATAN HAMZAH DIKEKALKAN, TAPI KEDUDUKAN AZMIN DALAM BERSATU SEMAKIN DIKUKUHKAN

Shahbudin Husin

30 January 2024

Politik Semasa

3 Comments

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Ahad malam lalu yang berlarutan sehingga jam 1.15 pagi tidak membuat sebarang perubahan kepada kedudukan Hamzah Zainuddin sebagaimana hangat dispekulasikan sebelum itu.

Beliau terus dikekalkan sebagai Setiausaha Agung, begitu juga dengan Salleh Bajuri yang turut dikekalkan sebagai Bendahari Agung.

Begitu pun, di sebalik tiada perubahan kepada kedudukan Hamzah, tetapi keberadaan Azmin Ali yang sebelumnya yang dikhabarkan bakal mengambil alih tempat Hamzah ternampak semakin diperkukuhkan.

Adun Hulu Kelang dan Ketua Pembangkang Dun Selangor itu kini dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Selangor menggantikan Abdul Rashid Asari.

Selain itu, dua orang pemimpin Bersatu yang dikenali sebagai sangat pro kepada Azmin turut dilantik sebagai Ahli MPT yang baru.

Mereka ialah Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasruddin.

Kedua-dua mereka ini adalah berasal daripada PKR sebelumnya, sama seperti Azmin juga.

Seorang lagi yang dilantik sebagai Ahli MPT ialah Nolee Ashilin Radzi, adik ipar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja.

Dengan tiga perlantikan tersebut, kedudukan Azmin bersama Peja jelas semakin diperkukuhkan dalam Bersatu.

Oleh kerana Mahiaddin Md Yasin telah menyebut hasratnya ingin kekal menerajui Bersatu hanya selama sepenggal saja lagi, bererti pemilihan parti yang dijangka pada Jun depan ini adalah yang terakhir baginya.

Ahli Parlimen Pagoh itu tidak akan bertanding lagi dalam pemilihan seterusnya pada 2027 nanti.

Dengan itu, gandingan Azmin dan Peja adalah gambaran yang sedang disolek dan dicantikkan untuk mengambil alih kepimpinan Bersatu selepas Mahiaddin.

Ke mana Hamzah selepas ini?

Dalam apa jua keadaan, kelebihan untuk bertindak adalah memihak kepada Mahiaddin sekarang ini.

Atas kuasa sebagai Presiden, beliau boleh menukar atau mengugugrkan Hamzah pada bila-bila saja, bahkan turut boleh tidak melantik lagi Ahli Parlimen Larut itu sebagai Setiausaha Agung selepas pemilihan pada Jun akan datang.

Jika Hamzah tidak berbuat apa-apa, potensi untuk masa depannya mereput begitu saja adalah amat tinggi, apalagi hubungan beliau dengan Mahiaddin sudah keruh sejak kebelakangan ini.

Terserah kepada Hamzah membuat pertimbangan mengenai masa depannya – melawan atau rela dikuburkan begitu saja. – ShahbudinHusin 30/01/2024.