Pembangunan pesat KL tidak pinggir golongan B40


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Pembangunan pesat Kuala Lumpur akan dipastikan tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah atau B40, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.



Beliau berkata bagi tujuan tersebut penyusunan semula dan penetapan baharu zon guna tanah seperti pengenalan zon khusus bagi kediaman mampu milik akan dilaksanakan.



"Dalam kepesatan pembangunan di tengah kota raya metropolitan Kuala Lumpur, saya ingin tekankan bahawa peningkatan darjat hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan B40 perlu juga untuk kita berikan perhatian serius.



"Sehubungan itu, penyusunan semula dan penetapan baharu zon guna tanah seperti pengenalan zon khusus bagi kediaman mampu milik dilihat akan

dapat menterjemah kesungguhan kerajaan dalam merancakkan pembangunan Perumahan MADANI untuk golongan sasar," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.



Draf pelan itu dilancarkan dua hari sebelum Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke-50 diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.



Zaliha berkata melalui Draf PTKL ini, kawasan-kawasan yang berkepentingan awam seperti kemudahan masyarakat dan kawasan lapang juga telah disusun

pendefinisiannya dalam memastikan kawalan lebih menyeluruh mampu dilaksanakan oleh pihak DBKL dan agensi berkaitan.



Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pandangan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam dengan berikan cadangan serta idea terhadap kandungan Draf PTKL 2040.



"Adalah tidak sempurna sekiranya pelan yang disediakan ini tidak memperhalusi pandangan serta ulasan oleh komuniti awam mahupun pihak-pihak yang berkepentingan," ujarnya.



Zaliha menjelaskan PTKL merupakan satu pelan terperinci menterjemahkan dasar yang terkandung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang telah diwartakan pada 19 Oktober lalu.



"Bertepatan dengan tema Sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan pada tahun ini iaitu ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’, PTKL ini dirangka dengan menitikberatkan kepentingan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mesra didiami oleh segenap lapisan masyarakat dan menjadi tumpuan kepada pelancongan serta pelaburan untuk dekad-dekad mendatang," ujarnya.



Draf PTKL 2040 boleh disemak oleh orang ramai bermula dari 31 Januari sehingga 1 Mac depan di Menara DBKL 1 dan 3 serta pameran bergerak yang akan diadakan di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.



Warga kota dipelawa untuk memberikan sebarang pandangan atau cadangan di lokasi pameran atau secara atas talian di laman https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan/.



DBKL juga akan mengadakan sesi taklimat di tingkat 30, Menara DBKL 1 pada tarikh yang akan diumumkan kelak.



Kuala Lumpur telah berkembang dari pelbagai aspek termasuk menyumbang sebanyak lebih RM 200 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2024 ini, Kuala Lumpur tersenarai di kedudukan ke-18 bandar raya terbaik dunia berdasarkan Britons Ranking.



Ia juga diiktiraf di kedudukan ke-8 bandar yang paling suka didiami oleh ekspatriat mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Forbes dan di tangga ke-6 bandar paling ramai pengunjung berdasarkan kajian Indeks Bandar Destinasi Global yang dijalankan oleh pihak MasterCard.

 

No comments: