MENFAATKAN PERHIMPUNAN AHLI MENERANGKAN HASRAT SEBAGAI KERAJAAN.

 









Menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan dari UMNO-BN, GPS dan GRS, selain sahabat-sahabat pimpinan dari Amanah dan DAP. 


Saya mencerahkan khalayak pimpinan dan anggota partai mengenai usaha dan pencapaian satu tahun Kerajaan Perpaduan meski berdepan dengan pelbagai kekangan dan mehnah, kita berjaya merangkul jumlah pelaburan sebanyak RM132.6 bilion di pelbagai sektor dan bidang dalam usaha kita mencambah pertumbuhan ekonomi. 


Saya menambah bahawa negara turut memerlukan langkah tuntas dan berani dari pihak Kerajaan dalam mendepani hutang yang kini mencecah RM1.5 trilion selain defisit yang membengkak saban tahun. Masalah subsidi pukal yang selama ini memanfaat golongan mahakaya dan lebih 3 juta warga asing juga didepani secara progresif agar yang benar-benar menerima manfaat adalah rakyat terbanyak. 


Saya turut menegaskan bahawa perubahan dan usaha mereformasi tatanan ini tidak harus dijelmakan secara gelojoh dan semberono tetapi mesti bergerak sederap dengan memahamkan rakyat selain mencari konsensus di kalangan pimpinan dan penerimaan rakyat. Ini kerana keutamaan kita adalah masalah asas rakyat yakni kemiskinan tegar, sekolah-sekolah daif serta klinik yang usang mesti diberi nafas dan ruh yang baharu. 


Saya menceritakan pengalaman menjelmakan pembaharuan seperti yang terpahat dalan lipatan sejarah saat Revolusi Perancis digerakkan di mana idea, kepentingan dan tuntutan elit dan golongan liberal diutamakan ketimbang masalah rakyat di bawah yang lebih mendesak. ‘Reign of Terror’ adalah kemuncak di mana tokoh fraksi Jacobin Robespierre diguling serta dipancung. 


Justeru, atas kesedaran ini kita mesti berhemah dalam melakukan pembaharuan dan mesti menyikapi fiqh awlawiyyat dengan cekap dan bijaksana. 


Dalam kesempatan yang sama, saya turut mengucap penghargaan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan kerana berusaha dan setia kepada usaha menegak tatakelola yang bertanggungjawab dan berkesan. 


Kepada rakan pimpinan dan anggota, saya ucapkan selamat berkongres! 


#MalaysiaMADANI



No comments: