LANGKAH SETERUSNYA, MAHIADDIN KINI WAJIB AMBIL JAWATAN KETUA PEMBANGKANG DARIPADA HAMZAH


Bagi sesiapa yang pernah berjumpa dengan Mahiaddin Md Yasin, mereka pasti sedar topik pengalamannya selama lebih 40 tahun dalam politik adalah antara tajuk perbualan yang jarang tidak disentuhnya.


Presiden Bersatu itu ternampak amat berbangga dengan pengalaman tersebut, terutama selepas berjaya menjadi Perdana Menteri.


Ini sekaligus memberi maksud bahawa banyak kejayaannya dalam dunia politik, terutama kelicikan “memotong di korner” untuk menjadi Perdana Menteri pada 2020 lalu adalah dirangsang serta dipandu oleh pengalamannya yang cukup lama itu.


Setelah gagal bertahan lebih lama di singgahsana kuasa dan kemudian gagal juga untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas PRU15 lalu, Mahiaddin dalam sejak akhir-akhir ini berdepan satu lagi cabaran untuk cuba diketepikan daripada mengetuai parti yang sedang diterajuinya.


Dalam kalangan Bersatu sendiri, ramai yang melihat beliau sudah tidak relevan untuk memimpin Bersatu dan PN bagi menghadapi PRU16, bukan saja disebabkan beberapa kegagalannya kebelakangan ini, malah ditambah dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.


Selain itu, isu menantunya yang melarikan diri ke luar negara dan gagal dikesan sehingga kini lebih menjadikan bebannya membukit untuk terus relevan mengemudi kejayaan parti.


Untuk itu, bukanlah rahsia lagi bahawa Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu dan Ketua Pembangkang di Parlimen dilihat sebagai pemimpin yang layak untuk menggantikan Mahiaddin.


Mahiaddin sendiri dilihat sedar hakikat itu di mana di beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu diadakan, beliau sendiri membayangkan kesediaan untuk berundur, cuma mahukan proses peralihan harus dilakukan dengan lancar.


Dalam ucapan perasmian perhimpunan tahun parti Jumaat lalu pula, Mahiaddin akhirnya membuat pengumuman tidak akan mempertahankan lagi jawatannya.


Ramai yang melihat pengumuman itu dibuatnya kerana sedar beliau sedang sedang berada di laluan yang sempit untuk mara ke hadapan.


Terbukti akhirnya pengumuman itu hanyalah taktik dan strategi untuk memancing hati perwakilan, sudah tentu disertai gerakan yang disusun secara diam-diam melalui ucapan perwakilan, mesyuarat khas secara tergempar dan seterusnya keputusan Perhimpunan Agung yang membuat ketetapan menolak keinginan Mahiaddin untuk berundur itu.


Sebagaimana diduga, Mahiaddin sudahnya akur untuk tidak berundur, sebaliknya setuju mempertahankan lagi jawatannya pada pemilihan parti tahun depan.


Terbukti di sini, pengalaman selama lebih 40 tahun dalam politik itu memberi satu lagi kejayaan buat Mahiaddin.


Mahiaddin akhirnya berjaya melakukan Pusingan U di laluan yang dilihat makin sempit di hadapannya untuk kekal lagi menerajui Bersatu dan PN serta sudah tentu akan dinamakan sekali lagi sebagai calon Perdana Menteri pada PRU16 tahun 2027 akan datang.


Dalam hal ini, apa yang Mahiaddin perlu lakukan seterusnya?


Bersama kejayaan kekal lagi memimpin parti dan menyingkirkan ancaman Hamzah daripada mencabarnya, Mahiaddin kini tiada pilihan lain jika ingin terus dilihat lebih berwibawa memimpin PN mendepani PRU16 melainkan dengan turut sama memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen.


Mahiaddin perlu mengambil jawatan tersebut daripada Hamzah tanpa kompromi dan tanpa ada perasaan kesian sedikit pun.


Beliau dalam hal ini harus sedar bahawa cabaran di depannya adalah besar, selain memenangi PRU16, adalah juga untuk membebaskan diri dan menantunya daripada cengkaman kes mahkamah yang sedang dihadapinya.


Lihat bagaimana Anwar Ibrahim berjaya memperolehi pengampunan dan Zahid Hamidi memperolehi DNAA, semuanya adalah melalui kuasa politik dan kejayaan berada sebagai sebahagian daripada 

kerajaan.


Maka, untuk PRU16 akan datang, Mahiaddin harus merangkum semua kekuatan yang ada disekelingnya untuk memperolehi kuasa dan matlamat membebaskan dirinya.


Hanya dengan menambah jawatan Ketua Pembangkang dalam koleksi dirinya saja dilihat mampu memberi lebih kekuatan ke arah matlamat itu.


Lagi pun, dengan terus membiarkan jawatan Ketua Pembangkang dipegang Hamzah, hodohnya PN di mata rakyat ialah gabungan itu seolah-olah ada dua nakhoda dalam kapal yang sama.


Bagi tujuan melicinkan lagi Bersatu dan PN serta memudahkan Mahiaddin mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang itu, beliau juga tiada pilihan selain perlu melucutkan Hamzah daripada terus memegang jawatan Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Agung PN.


Kedua-dua jawatan itu lebih wajar untuk Mahiaddin serahkan kepada Azmin Ali yang diketahui kebih tersusun, lebih kemas dan lebih teliti dalam gerak kerjanya politiknya selama ini, malah sejak bersama PKR lagi.


Dalam fasa menuju PRU16, Hamzah barangkali cukup sekadar diberi jawatan Bendahari Agung saja, itu pun jika Mahiaddin masih ada sedikit simpati dan kesian kepadanya. – ShahbudinHusin 26/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/26/langkah-seterusnya-mahiaddin-kini-wajib-ambil-jawatan-ketua-pembangkang-daripada-hamzah.html