Hantaran Langgar 3R: Umno buat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Pahang









Oleh : Lokman Noor Adam 


LAPORAN polis telah dibuat ke atas Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berikutan kenyataan provokasi dan menghina yang membabitkan elemen 3R di media sosial.


Laporan polis itu telah dilakukan oleh Pengarah Komunikasi Umno Datuk Lokman Noor Adam di Balai Polis Sabak Bernam kira-kira pukul 2.30 petang hari ini selepas terbaca kenyataan penghinaan Rosli itu dalam satu hantaran di akaun Facebook yang dikenali Che Ibrahim Mohamed.


"Hantaran Rosli itu ternyata bersifat provokasi, memfitnah dan melanggar 3R yang ditegah pihak berkuasa, beliau menyebut terima kasihlah pengundi Pelangai kerana Pelangai di lembah kemaksiatan, nerakalah tempat kalian wahai pengundi BN," kata Lokman kepada Media Perpaduan, hari ini.


Hantaran jelik Rosli itu susulan tidak dapat menerima kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai semalam yang dimenangi calon BN Datuk Amizar Abu Adam.


Mengulas lanjut, Lokman berkata, tindakan Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Tanjung Lumpur adalah sangat tidak wajar dan telah memburukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.


"Saya merasakan kandungan hantaran ini adalah tidak wajar dan mencerminkan Rosli Abdul Jabar sebagai seorang ustaz serta memburukkan imej agama Islam sebagai agama Persekutuan.


"Saya membuat laporan polis ini adalah untuk mempertahankan maruah Umno dan Kerajaan Perpaduan serta menegakkan prinsip keadilan dalam politik.


Lokman turut menggesa pihak polis menyiasat kenyataan Rosli tersebut yang telah dinafikan beliau dengan mendakwa ada pihak lain telah melakukan hantaran untuk memfitnah beliau.


"Ustaz (Rosli) juga menuduh pihak lain memuat naik tangkap layar yang diedit seakan memfitnah beliau. Sehubungan dengan itu laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat sama ada beliau benar-benar telah membuat hantaran tersebut atau telah difitnah," katanya.


Semalam, PRK Pelangai menyaksikan kemenangan kepada Amizar dengan majoriti 2,949 undi menewaskan 

calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.


 - Media Perpaduan

https://www.facebook.com/100076354482544/posts/352889020599578/?mibextid=cr9u03



No comments: