Tonton wawancara lengkap, bukan yang disunting - PM



Isu wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) bersama Christiane Amanpour dari CNN sebelum ini yang dikatakan mengandungi jawapan 'kurang jelas' dalam pertanyaan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudidn (PN - Larut) menjadi tumpuan di Dewan Rakyat sesi pagi.


Pertanyaan Hamzah dalam nada menyindir itu segera mendapat jawapan tuntas dari Ahli Parlimen Tambun bahawa yang beliau tonton itu bukanlah wawancara penuh, sehingga jawapan yang diberikan singkat atau terputus putus.


"Saya syorkan YB lihat keseluruhan temubual itu dan tidak melihat cut and paste yang dibuat. Kita telah pun menunjukkkan yang dikeluarkan oleh CNN International dan CNN America yang menunjukkan liputan sepenuhnya jawapan. Tetapi ada unsur khianat yang sengaja memotong dan menunjukkan tidak ada jawapan yang lengkap.


"Kemudian ada juga dialog dengan Council of Foreign Relations yang juga memberikan penjelasan yang sama. Tetapi saya harap Yb jangan baca cut and paste, baca yang sebenarnya," kata PM dalam menjawab soalan Hamzah.


Berkenaan soalan tambahan adakah cara untuk mengawal kenaikan kos hidup dalam Dasar Ekonomi Madani, PM menjelaskan hal itu wujud dalam beberapa pelan ekonomi yang dilancarkan dan akan ditambah dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini.


"Saya setuju soalan YB Larut, perlu ada keterangan lebih detail sebab itu saya syorkan supaya dibaca Ekonomi Madani bersama Kajian Separuh Penggal RMK dan juga transisi tenaga, pelan perindustrian yang mencerakin secara detail pelan pelaksanaan program selain daripada yang saya usahakan pada 13 Oktober ini dalam membentangkan Belanjawan Madani kedua," katanya.


Mengenai perbezaan dasar kemakmuran bersama dan Ekonomi Madani yang ditanya oleh Ahli Parlimen Suhaizan Kayat (PH - Pulai) pula PM berkata, dasar yang dicadangkan oleh Bank Dunia tidak mempunyai nilai dan kekuatan tempatan yang diperlukan untuk memantapkan ekonomi Malaysia.


"Dalam wawasan kemakmuran bersama tidak ditekankan persoalan nilai, tidak ditekan kuat tentang permasalahan tempatan umpamanya apa yang berlaku di Malaysia. Itu kerangka global, tidak memberi penekanan tentang permasalahan semasa.


"Ini termasuk isu kos sara hidup. Ia tidak termasuk apa yang kita warisi, hutang, defisit. Jadi perancangan sekarang mesti ambil kira masalah tersebut.


"Maka sebab itu saya menekankan bagi Malaysia sekarang dan masa depan bila merangka apa saja dasar, jangan hanya puas hati dengan istilah memukau dari acuan Barat tetapi perlu memberi takrifan nilai tempatan yang berakar daripada faham agama dan akhlak di negara kita," katanya lagi.


 

No comments: