Kemenangan PH di PRK Johor matikan spekulasi perubahan kerajaan


 Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pembangkang memainkan isu yang membangkitkan semangat Melayu untuk menyaksikan Kerajaan Perpaduan tumbang sebelum hujung tahun ini.



Kononnya dengan kemenangan PN di parlimen Pulai Kerajaan Pesekutuan akan bertukar, juga kemenangan di DUN Simpang Jeram akan menyebabkan Kerajaan Negeri bukan lagi daripada blok Perpaduan.



Hakikatnya, kata Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, kedua dua kerusi tersebut dimenangi oleh calon Pakatan Harapan dan menenggelamkan impian besar PN.



"(Sejak awal) saya rasa PRK ini tidak lah sampai kepada sambungan gelombang (hijau dari Utara Ke Selatan). Saya dari awal percaya ini proses demokrasi untuk memilih wakil rakyat yang akan menyambung legasi wakil sebelum itu, atau yang mewakili kawasan itu.



"Cuma sebagai pembangkang, mereka jadikan ini satu agenda besar. (Konon) boleh tumbang, boleh jatuh negeri.



"Macam saya ceramah hari itu (hujah tersebut) tidak relevan langsung. Kita nak pilih, biarlah rakyat yang pilih di kawasan itu dia yakin dengan calon itu, dan soal kedua ialah soal bersama Kerajaan Negeri atau Persekutuan. Itu sahaja," katanya kepada Suara Keadilan.



Justeru itu, Syed Ibrahim berharap pembangkang tidak lagi meneruskan teori merapu gelombang hijau melanda Johor pada masa hadapan.



Hal itu kerana, katanya, terbukti orang Melayu Johor lebih matang berfikir dan tidak akan termakan propaganda karut marut yang dibawa oleh PN.



"Kalau nak ambil mudah Johor ini masih 'kebal'. Orang Johor boleh berfikir dan tidak termakan dengan sentimen, gelombang dan semua itu," katanya lagi.



Malam tadi Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan calon Pakatan Harapan Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi di Pulai, sementara di Simpang Jeram, Ir Nazri Abd Rahman berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,514 undi.



Kemenangan itu selepas kempen sengit sepanjang 2 minggu dan menyaksikan kebangkitan pengundi Melayu di kedua dua kawasan. Bagaimanapun PN terpaksa menelan realiti bahawa di kawasan pengundi Melayu bawah 80% mereka memerlukan undi kaum lain, dan politik ekstrem Melayu tidak akan membuat mereka berjaya memerintah negara.


2 comments:

Anonymous said...

"Kalau nak ambil mudah Johor ini masih 'kebal'. Orang Johor boleh berfikir dan tidak termakan dengan sentimen, gelombang dan semua itu," katanya lagi. >>> Ini adalah kenyataan yang paling tepat lebih tepat lagi setiap pengundi boleh BERFIKIR dan bukan pajakkan otak mereka seperti Walaun & Walauntit yang menggadai otak mereka dengan RM50, Rm100, RM150, RM200 hampir ke sifar harga otak mereka...

Anonymous said...

Lanjut kan waktu hingga hujung tahun dan pindah ke prk negeri pahang…ke keh keh!