SUDAH BANYAK KALI GAGAL, KINI MASA UNTUK MAHIADDIN BERUNDUR TELAH TIBA

 


Satu perkara yang tidak boleh dinafikan berikutan kekalahan PN dalam dua PRK di Johor semalam ialah bertambahnya lagi koleksi kegagalan Mahiaddin Md Yasin selaku ketua gabungan tersebut.

Meskipun ada cubaan menutup malu kononnya kekalahan itu adalah kekalahan bermaruah lantaran undi PN bertambah, manakala undi PH berkurangan, tetapi dalam apa juga perlawanan di dunia ini – kalah tetap kalah walau dengan perbezaan satu undi.

Dengan itu, tiada hukum untuk memaruahkan kekalahan PN itu dengan apa juga selimut yang semata-mata untuk menutup kegagalan yang makin bertimpa.

Kegagalan pertama Mahiaddin ialah gagal membawa PN memenangi PRU15 lalu di mana gabungan itu hanya beroleh 74 kerusi Parlimen berbanding PH sebanyak 82 kerusi.

Kegagalan dalam PRU15 itu disusuli pula dengan kegagalan kedua iaitu gagal menubuhkan kerajaan melalui cubaan mengumpul akuan bersumpah atau SD, termasuk dengan mencuri sokongan sejumlah kecil Ahli Parlimen BN.

Hakikatnya, kegagalan itu lebih menyerlahkan kerakusan Mahiaddin untuk berkuasa tanpa menyedari di bawah undang-undang anti lompat yang telah diluluskan di Parlimen, SD secara peribadi oleh mana-mana Ahli Parlimen sudah tidak terpakai lagi.

Pokoknya macam mana Mahiaddin nak jadi Perdana Menteri buat kali kedua jika undang-undang dalam negara pun gagal difahaminya?

Kemudian apabila Yang Dipertuan Agong memanggil semua ketua parti untuk menubuhkan kerajaan perpaduan disebabkan tiada mana-mana pihak beroleh majoriti secara sendirian, Mahiaddin dengan sombong dan ego menolak titah murni baginda itu.

Berikutan enggan menyertai kerajaan perpaduan dan semua parti lain setuju, maka termenjadilah PN sebagai pembangkang, manakala BN yang cuma ada 30 kerusi Parlimen berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Dan ini adalah kegagalan ketiga Mahiaddin, terutama gagal menyekat UMNO daripada menjadi kerajaan adalah tamparan paling pedih dirasai PN hinggalah sekarang

Seorang pemimpin Bersatu pernah berkata, jika bukan Mahiaddin mengetuai PN ketika itu, kemungkinan besar hari ini PN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan sebagaimana telah dititahkan Agong.

Ertinya, kegagalan PN menjadi kerajaan selepas PRU15 lalu, sebahagian besar penyebabnya, kalau pun tidak semua, terletak pada diri dan keegoan Mahiaddin selaku Pengerusi PN.

Kegagalan keempat Mahiaddin ialah apabila beliau bercita-cita besar mahu menjadikan PRN enam negeri baru-baru ini sebagai referendum untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Apa yang terserlah kemudiannya, keputusan PRN itu bukan saja membuatkan PH/BN berjaya mempertahankan tiga negeri yang sedia dikuasainya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, bahkan undi popular PN kurang sekitar 17,000 berbanding yang diperolehi oleh PH/BN.

Siapa yang kalah referendum akhirnya?

Kegagalan kelima Mahiaddin adalah kerana gagal menunjukkan teladan yang baik dalam kes menantunya, Adlan Behran yang didapati melarikan diri ke luar negara dan kini telah diletakkan dalam “notis merah” serta menjadi buruan Interpol.

Adlan melarikan diri ke luar negara dipercayai untuk mengelak siasatan SPRM terhadapnya dan sebagai pemimpin utama blok pembangkang, Mahiaddin seharusnya menunjukkan teladan yang baik dengan membantu pihak berkuasa, sama ada meminta menantunya segera pulang atau memberi maklumat di mana keberadaan menantunya itu,

Memberi jawapan “no komen” ketika ditanya sebelum ini bukan petunjuk sikap bertanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin.

Dalam PRK Parlimen Pulai yang diadakan serentak dengan PRK Dun Simpang Jeram semalam, cita-cita Mahiaddin adalah untuk menafikan majoriti dua pertiga kerajaan perpaduan yang sekarang mempunyai sokongan sebanyak 148 Ahli Parlimen.

Memandangkan hasrat itu juga gagal menjadi kenyataan, ia dengan sendirinya menjadi kegagalan keenam buat Mahiaddin.

Gagal menang dalam dua PRK di Johor, selain menunjukkan gabungan itu gagal menafikan majoriti dua pertiga kerajaan perpaduan, malah memperlihatkan PN gagal dalam cita-cita untuk merampas negeri itu dalam PRU seterusnya.

Maklumat banyak pihak menyebut, faktor penyumbang kegagalan PN di Pulai khususnya, adalah disebabkan faktor calon yang tidak begitu diterima rakyat setempat, tetapi tetap menjadi pilihan Mahiaddin.

Sama sebagaimana Chegubard sebelum ini menyalahkan Mahiaddin atas kegagalan PN menawan Negeri Sembilan yang banyak disebabkan oleh pemilihan calon-calon tidak berkualiti, keadaan yang sama sebenarnya berulang lagi di Pulai.

Mudah kata, semua siri kegagalan PN sejak PRU15, tidak lain, penyumbang utamanya ialah Mahiaddin selaku nakhoda yang semakin kehilangan wibawanya.

Menjelang pemilihan Bersatu pada awal tahun depan, jika Bersatu dan PN ingin lebih maju dan diterima, sampai sudah masanya untuk beliau berundur, tidak bertanding lagi atau ahli-ahli Bersatu mesti berani memilih seorang nakhoda baru.

Tanpa perubahan, PN lebih berpotensi menempa lebih banyak kegagalan lagi. – ShahbudinHusin 10/09/2023



1 comment:

Anonymous said...

IGN lupa shahbuddin dia berjaya juga… berjaya jatuh kan Pak lah…