Rakyat Johor tolak ‘politik agama’, kata pemimpin DAP



Kemenangan PH pada PRK Pulai dan Simpang Jeram isyarat rakyat Johor menolak politik memperalat agama, kata Sheikh Umar Bagharib Ali.

Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali meminta PN kembali fokus dan menjadi pembangkang yang konstruktif. (Gambar Fcebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP Johor berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pulai dan Simpang Jeram semalam memberi isyarat bahawa rakyat Johor tidak menerima politik memperguna agama yang keterlaluan.

Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali memberi amaran bahawa memperalatkan agama dalam politik ialah tindakan sangat tidak bertanggungjawab.

“Ia hanya akan mencalar kesucian Islam. Lebih bahaya lagi, ia boleh membenihkan ekstremisme yang meruntuhkan perpaduan kita,” katanya dalam kenyataan.

Pada PRK semalam, calon-calon PH, Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram, menang dengan masing-masing memperoleh majoriti 18,641 undi dan 3,514 undi.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub, yang juga timbalan presiden Amanah, pada 23 Julai lepas.

Dalam pada itu, Sheikh Umar meminta Perikatan Nasional (PN) kembali fokus dan menjadi pembangkang yang konstruktif.

Katanya, pembangkang perlu memainkan peranan untuk membantu kerajaan membangunkan rakyat dan memulihkan ekonomi.

“Cadangkan polisi-polisi yang baik. Berhentilah daripada perangai adu domba dan manipulasi agama demi kepentingan politik.

“Ia hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.