BEKALAN BERAS TEMPATAN MENCUKUPI, HARGA STABIL – DR AZMAN



Peningkatan harga beras import bermula September ini dijadikan bahan serangan bertali arus pembangkang mendakwa konon kerajaan telah hilang kawalan terhadap stok dan pengedaran bahan makanan ruji rakyat Malaysia itu.

Malah, tohmahan mereka menjalar ke stok beras tempatan yang didakwa bermasalah dan turut mengalami kenaikan harga.

Bagi Pengerusi Biro Petani KEADILAN, Dr Azman Ismail, rakyat perlu faham isu lebih besar mengenai kenaikan harga beras tersebut yang berlaku di peringkat global dan kerajaan tentunya tidak akan memberikan subsidi kepada sesiapa yang ingin menggunakan beras import.

Katanya berbanding Malaysia, Thailand dan Indonesia yang mempunyai tahap sara diri (SSL) bagi beras yang lebih tinggi daripada negara ini juga terpaksa menaikkan harga bahan tersebut untuk mengimbangi permintaan domestik.

“(Hakikatnya) harga beras di seluruh dunia mendadak naik kerana India sepenuhnya berhenti mengeksport beras pada 27 Ogos baru-baru ini.

“40 peratus beras dunia datang dari India. Apabila India berhenti eksport beras, Malaysia hanya ada Thailand dan Vietnam untuk menampung keperluan beras import kita, iaitu 35% (daripada keperluan negara).

“Oleh sebab, beras kurang di dalam pasaran (global), maka harga beras Thailand dan Vietnam juga ikut naik tinggi dan lebih awal sejak bulan lalu. Ini punca utama harga beras naik di pasaran kita,” katanya

Tambah Dr Azman, India terpaksa menghentikan eksport beras ke seluruh dunia atas faktor perubahan musim kemarau yang mendadak di negara tersebut.

Selain itu, katanya, perang Rusia-Ukraine juga menjadi antara punca kenaikan harga makanan global apabila hasil jagung dan gandum dari kedua dua negara tidak boleh dieksport. Malah permintaan beras menjadi lebih tinggi bagi negara negara yang biasa dengan hidangan bahan itu.

“Perubahan iklim, panas melampau hingga rosak bendang di India (mengakibatkan kurang pengeluaran). Juga kesan jangka panjang Perang Rusia-Ukraine menyebabkan harga bahan makanan naik tinggi di seluruh dunia.

“Hal ini kerana Rusia-Ukraine adalah pengeluar bijirin yang sangat penting bagi dunia,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Dr Azman, kerajaan Malaysia pada ketika ini sedang mengambil tindakan mengatasi masalah kenaikan harga beras dengan meningkatkan pengeluaran padi tempatan di samping segera membeli beras di pasaran antarabangsa bagi mencukupkan bekalan domestik.

“Setakat ini beras tempatan ada (mencukupi) dan sedang diusahakan tambah (beras import) oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 3 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi jaminan bahawa bekalan beras negara mencukupi dan tidak akan menaikan harga beras tempatan.

Dalam masa sama, pemimpin nombor satu itu menyarankan rakyat Malaysia membeli beras tempatan bagi mengurangkan beban kenaikan harga beras import.