Rancangan Malaysia Ke 12 akan menumpukan untuk menjadikan Malaysia
negara berpendapatan tinggi seiring dengan jiran jiran di Asia yang semakin
membangun dan kaya.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun)
Kerajaan dalam tujuan berkenaan telah menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi
sekurang-kurangnya 5% setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberikan tumpuan
kepada dua perkara pokok.
"Pertama, memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan
peralihan kepada industri yang bernilai tinggi dan menerima guna
teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran. Di
samping itu, Kerajaan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan ahli
akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara.
"Kedua, Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai
destinasi pilihan utama para pelabur dengan memperkukuh daya saing. Langkah
utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan
perniagaan termasuk melalui unit MyMudah," katanya dalam pembentangan
Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 (2021 - 2025) di Dewan Rakyat sesi pagi.
Menurut PM lahi, Kerajaan juga akan memantapkan sektor dan
industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV)
meliputi lima bidang. Iaitu Pembangunan HGHV 1: Industri Berasaskan Peralihan
Tenaga akan digagaskan sebagai anjakan utama bagi memastikan peralihan tenaga
yang saksama.
Di samping itu, katanya, bagi memenuhi peningkatan permintaan gas
asli cecair (LNG) dan memastikan keterjaminan bekalan, projek penyimpanan LNG
tambahan akan dibangunkan di Terminal Penggasan Semula (RGT), Pengerang, Johor.
"Langkah ini juga akan memperkukuh usaha meliberalisasi
pasaran gas domestik dan menjadikan Malaysia sebagai hab
pasaran gas asli serantau," katanya.
Manakala HGHV 2 pula, kata PM, menumpukan Industri Berasaskan
Teknologi dan Digital yang akan diberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi
termaju yang merangkumi kecerdasan buatan, bahan termaju dan pengkomputeran
kuantum sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
"Saya pernah menghebahkan Agenda Digital Rakyat / Digital
Native Agenda 2023 (DNA23) sebagai ikhtiar untuk memberi pendedahan dan
pencerahan kepada bidang teknologi dan digital yang kritikal bagi negara.
"Hasrat saya adalah agar kefahaman dan penyertaan itu lebih
menyeluruh dan penekanan mengenai transformasi digital akan merangkul semua
lapisan masyarakat miskin kota, desa dan di pedalaman.
"Walhasil, kebijakan digital yang lebih inklusif akan
diwujudkan untuk membangunkan infrastruktur yang kondusif, menyemak semula
peraturan dan garis panduan bagi menambah baik persekitaran yang mendukung
pembangunan ekonomi digital," katanya.
Berhubung industri digital, kata Anwar, pemain utama dalam sektor
Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (TMK) seperti Google, Amazon Web Service,
Microsoft dan IBM, serta tokoh syarikat pemula (startup) telah menyatakan minat
mereka untuk mendukung usaha kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat digital
tempatan yang berkemahiran tinggi.
Kejayaan yang dirintis oleh syarikat pemula seperti EasyParcel,
TheLorry, Swipey dan iStore iSend, katanya, mampu diangkat sebagai teladan.
"Untuk maksud ini, satu konvensyen syarikat pemula akan
dianjurkan dalam masa terdekat bagi menghasilkan lebih ramai tekno-usahawan
tempatan.
"Kerajaan juga telah menyediakan geran berjumlah RM266 juta
pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak
syarikat bertaraf unikorn. Sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga
kini," katanya.
Selain itu, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan
dan daya cipta (R&D&C&I) yang terarah merupakan satu daripada
tunjang penting untuk mempercepat reformasi struktur ekonomi.
"Untuk itu, Unit Pengurusan Penyelidikan akan diperkasakan
sebagai agensi tunggal bagi menyelaraskan dan
mengurus aktiviti R&D&C&I agar lebih cekap dan tuntas.
"Kerajaan menyasarkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan
Pembangunan (GERD) kepada KDNK sebanyak 2.5%, manakala sumbangan perbelanjaan
Penyelidikan dan Pembangunan Sektor Swasta (BERD) kepada jumlah keseluruhan
perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) disasarkan sebanyak 70%
pada tahun 2025," katanya.
Bagi HGHV 3 pula, Industri Elektrik dan Elektronik (E&E)
Bernilai Tinggi menjadi tumpuan. Industri E&E negara yang
menyumbang hampir 13% dalam pasaran dunia bagi pengujian dan
pempakejan cip akan diperkukuh untuk beralih ke rantaian nilai yang lebih
tinggi.
HGHV 4 melibatkan Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan
komited untuk mengukuhkan kemandirian dan keterjaminan
makanan dan meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi.
Kemandirian pengeluaran makanan tempatan akan ditingkatkan melalui automasi dan
pendigitalan agar berskala lebih besar dan berdaya saing.
Indystri terbaharu, kata PM di bawah HGHV 5 adalah Industri Nadir
Bumi yang akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir
bumi bukan radioaktif yang mampan dan mesra alam.
"Unsur ini diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet
dan alatan elektronik. Industri nadir bumi dijangka menyumbang sebanyak RM9.5
bilion kepada KDNK negara pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang
pekerjaan," kata Amwar lagi.