TAK RASA MALUKAH MAHIADDIN BILA MENANTUNYA KINI BURUAN INTERPOL, MACAM MANA NAK JADI PM SEMULA?



Menantu Mahiaddin Md Yasin kini sah diletakkan dalam notis merah Interpol atau Polis Antarabangsa untuk ditangkap dan dibawa balik ke Malaysia.


Ini bermakna, Muhamad Adlan Behran sekarang adalah orang buruan pihak berkuasa di peringkat antarabangsa dan dicari di seluruh dunia.


Turut bersama diburu Interpol ialah seorang peguam, Mansoor Saat.


Kedua-dua mereka dikehendaki SPRM untuk disiasat berkaitan dakwaan rasuah berhubung projek melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing.


Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri ke luar negara sejak bulan Mei tahun ini.


Ketua Polis Negara, Razarudin Husain hari ini mengesahkan berkaitan notis merah terhadap kedua-dua suspek yang dikehendaki SPRM itu.


“Ya,sudah. Tindakan notis merah telah dikenakan terhadap mereka,” katanya.


Muhammad Adlan sebelum ini, melalui peguamnya, mengeluarkan kenyataan yang mendakwa dia menjadi sasaran secara tidak sah oleh SPRM yang menyebabkannya menderita dan berada di ambang kehancuran dari segi kewangan.


Dia juga mendakwa akaun bank, baik peribadi mahupun yang dikaitkan dengan syarikatnya, telah dibekukan tanpa notis.


Bagi Mansoor pula, dia mendakwa bahawa dia menjadi mangsa penganiayaan politik.


Dengan disenaraikan dalam notis merah Interpol ini, tak rasa malukah Mahiaddin dengan apa yang sedang berlaku dan diperbualkan ramai?


Di mata umum, gambaran yang terpampang dan sedang diperkatakan ramai ialah – menantu seorang bekas Perdana Menteri sedang diburu dan dan kini diletakkan dalam notis merah Interpol berikutan enggan menyerah diri.


Di mana rasa tanggungjawab Mahiaddin sebagai pemimpin dan bekas Perdana Menteri?


Jika tidak boleh meminta menantunya untuk menyerah diri, beliau tentunya boleh meminta anak perempuannya iaitu isteri Muhammad Adlan untuk memujuk suaminya agar segera kembali dan menyerah diri kepada SPRM.


Lagi pun berapa lama mahu melarikan diri dan bersembunyi?


Kenapa Mahiaddin tidak melakukannya?


Terpenting sekali, macam mana nak jadi Perdana Menteri semula jika perkara penting seperti ini pun iaitu memastikan menantu sendiri patuh kepada undang-undang gagal dilakukan? – ShahbudinHusin 25/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/