Tuduhan Menteri Besar (MB) Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kononnya dua ADUN pembangkang di negeri itu sebagai pihak menentang perjuangan Islam adalah helah politik Pas.
Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussein menganggap tindakan MB tersebut adalah helah lama untuk memastikan rakyat terus menyokong Pas memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.
Katanya, dalam Islam politik adalah untuk mentadbir urus negara. Sedangkan mentadbir secara Islam yang efisien tidak semestinya dilakukan oleh Pas sahaja.
“Islam ajar politik adalah mengurus tadbir rakyat dengan baik.
“Justeru, kalau dilihat dalam cara pengurusan air, Selangor lebih mengikut perjuangan politik Islam berbanding Kelantan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Wan Ji, Selangor lebih menjaga kebajikan rakyat mengikut acuan Islam dengan menyediakan bekalan air berstandard tinggi, namun bekalan air di Kelantan masih belum memenuhi piawai ditetapkan.
Begitu juga, katanya, Selangor lebih Islamik dalam menyediakan peluang pekerjaan buat rakyatnya berbanding Kelantan yang tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan cukup.
“Selangor menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya, lebih ikut perjuangan politik Islam berbanding Kelantan.
“Oleh itu, menggunakan jenama Islam di saat gagal memberi kebajikan pada rakyat, ia sama sahaja meletakkan jenama air zam-zam pada botol yang dalamnya ada air arak,” katanya lagi.
Oleh itu, tegas Wan Ji, perjuangan politik Islam tidak seharusnya bergantung kepada parti mana tetapi kebajikan yang dilakukan oleh parti berkenaan terhadap rakyat yang diperintah.
Kelmarin, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim memberi tempoh selama tujuh hari kepada MB Kelantan menarik balik tuduhan beliau yang menganggap kedua dua mereka menentang perjuangan Islam.