Golongan M40 diberi perhatian biarpun B40 terus dibantu




Oleh: Abdullah Zaid



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan golongan M40 dan tidak mengabaikan kelas pertengahan itu.



Jelasnya, dakwaan beberapa pihak bahawa pendekatan kerajaan pada ketika ini lebih tertumpu kepada golongan B40 disifatkan tidak tepat.



"Jadi beberapa langkah sudah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil tidak sampai satu atau dua peratus.



"Oleh sebab itu saya usulkan kepada Fadhlina (Menteri Pendidikan) baru-baru ini, menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidakpun, mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku," kata beliau ketika berucap di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang, Kuala Lumpur hari ini.



Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Gabenor Bank Negara Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.



Sementara itu, menyentuh mengenai meritokrasi dalam pendidikan, Perdana Menteri berkata sistem itu penting tetapi tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria bagi memastikan pengurusan dan tatakelola yang adil.



"Kalau nak bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.



"Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera), saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, kalau tidak, kita tidak mampu mengangkat invidu yang terbaik dalam kalangan kita," katanya.



Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa kepimpinan kementerian, bank serta golongan elit mendekati golongan bawahan yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara berkenaan.



"Kadang-kadang saya runsing juga, kita sudah merdeka sekian lama dan matang tetapi kadang-kadang wacana kita itu ada dua dan ada pemisahan dalam kalangan atasan dan (golongan) bawahan.



"Oleh kerana dia (golongan bawahan) tersisih dan terabai, maka dia akan lari kepada isu kaum dan agama yang sempit kerana kita (golongan atasan) tidak menyantuni mereka," jelas Perdana Menteri lagi.