Dana tambahan 6 juta untuk usahawan iTekad - PM






 Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan Perpaduan hari ini memperuntukan dana tambahan sebanyak RM6 juta kepada program iTekad untuk meningkatkan keupayaan usahawan mikro berpendapatan rendah.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan inisiatif itu merupakan penambahan daripada RM4 juta yang diperuntukan sebelum ini bagi membantu kira-kira 4 ribu peserta.


"Diharap (penglibatan peserta) meningkat 4,000 berdasarkan peruntukan RM4 juta Kementerian Kewangan.


"Kalau sudah berjaya dengan RM4 juta, saya pasti dengan keputusan kejayaan, dengan andaian penyertaan bank dan dana tambahan daripada Bank Negara, maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini," katanya yang juga Menteri Kewangan.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini.


Pada masa sama, pemimpin nombor satu negara itu turut menggesa institusi kewangan yang lain terlibat sama dengan program iTekad.


"Setakat ini, kita ada 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini boleh mencecah hingga 20 (institusi bank) kalau tidak saya minta senarai yang belum masuk.


"Oleh itu, mana-mana bank yang belum menyertai dalam beberapa bulan ini, menyertai pelaksanaan iTekad (kerana) ia mampu menjadikan satu tunggak kejayaan bank-bank di Malaysia," katanya.


Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta BNM menyediakan laporan iTekad secara berkala supaya perkara itu boleh dijadikan sebagai rujukan kepada agensi kerajaan yang lain.


"Saya telah meneliti beberapa perkara mengenai iTekad dan jika inisiatif ini berhasil ia boleh menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain bagaimana untuk mengurus dan membuat keputusan yang lebih baik," ujar Perdana Menteri.


Untuk rekod, iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan. 


Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.


No comments: