Poster fitnah Menteri KKD dilapor ke polis, SKMM


 Poster fitnah kononnya Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil mengarahkan tentera siber Kerajaan Perpaduan mencipta naratif menyalahkan Pas dalam isu kontroversi pembatalan konsert Good Vibes Festival tempoh hari dilapor ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan polis.


Menurut Fahmi, poster tersebut merupakan fitnah yang nyata kerana tiada kaitan sama sekali pembatalan konsert tersebut dengan dakwaan untuk menghalang ahli Pas berdemonstrasi membantah konsert berkenaan.


"Poster ini adalah fitnah! Saya telah arah pejabat untuk buat laporan pada MCMC dan PDRM," katanya di Facebook.


Beliau turut memberi kronologi ringkas penganjuran konsert itu yang sebelum ini pernah memohon kebenaran penganjuran dari Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) pada 23 Jun 2023 yang pada peringkat menolak membawa masuk kumpulan The 1975 atas rekod buruk mereka di negara lain.


Namun kata Fahmi, pada 16 Julai penganjur telah membuat rayuan dan jaminan bertulis dari pengurus kumpulan The 1975 untuk bertanggungjawab sepenuhnya di atas persembahan kumpulan berkenaan, kemudian PUSPAL menerima rayuan berdasarkan jaminan tersebut.


"Pada 21 Julai jam 11 malam, kumpulan 1975 telah berkelakuan sangat biadab di pentas persembahan.


"Pada 22 Julai jam 3 pagi, saya membuat hantaran di Twitter mengecam keras tindakan ini dan memanggil penganjur untuk berjumpa saya pagi berikutnya


"Pada 22 Julai (Sabtu) jam 10 pagi, penganjur hadir dan mereka mengaku akan mengambil tanggungjawab penuh


"Tamat mesyuarat, jam 1 petang saya keluarkan kenyataan minta penganjur batalkan baki konsert dan cari mekanisme bayaran balik (refund) pada pembeli tiket," katanya.


Fahmi berasa pelik bagaimana individu yang membuat poster berkenaan boleh memesongkan peristiwa tersebut dan mengaitkannya dengan politik.


"Bagaimana pereka poster ini boleh dengan tidak ada rasa takut akan undang-undang mahupun akhirat, membuat fitnah secara terbuka seperti ini.


"Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari fitnah dan para pemfitnah ini," katanya lagi..


No comments: