Calon influencer : PH-BN tetap utuh - AMANAH Kedah


Oleh: Abdulah Zaid


Oleh: Abdulah Zaid


Amanah Kedah berpandangan pertaruhan dua bekas pemain bola sepak yang bertanding atas tiket PN tidak mengutungkan rakyat dalam negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.


Setiausahanya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata langkah populis yang diambil Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah bukti terdesak gabungan itu untuk mendapatkan sokongan pengundi.


Malah jelasnya, Sanusi dilihat perlu memperincikan semula strategi meletakkan calon yang lebih berpengalaman untuk memenangi PRN negeri itu.


"Sebab dia nak cari sokongan influencer (pempengaruh) untuk mendapatkan undi memandangkan dia (Sanusi) gagal memerintah negeri Kedah.


"Dalam masa yang sama, tindakan dia untuk mencari sokongan influencer (pempengaruh) boleh mendatangkan kesan kerana mereka tidak faham dengan pentadbiran," katanya ketika dihubungi.


Selain itu, Asmirul Anuar yang juga calon bagi DUN Kubang Rotan menyarankan gabungan PH-BN Kedah membuat penerangan kegagalan Sanusi menerajui negeri tersebut terutama di kawasan luar bandar.


"InshaAllah gabungan PH-BN boleh dapat simple majority (majoriti mudah) untuk PRN Kedah walaupun PN meletak calon influencer (pempengaruh).


"Cuma buat masa sekarang, strategi penerangan di sosial media mengenai kegagalan Sanusi memerintah negeri Kedah perlu dipergiatkan lagi.


"Ini kerana, pengundi di luar bandar kurang memahami isu semasa melibatkan Sanusi berbanding pengundi bandar," jelasnya lagi.


Sementara itu, selain Asmirul Anuar, AMANAH mempertaruhkan 8 calon terdiri daripada penyandang dan calon baharu bagi menghadapi PRN Kedah pada 12 Ogos ini.


Dalam pada itu, Naib Pengerusi Amanah Datuk Mahfuz Omar yang juga Pengerusi PH negeri turut diumumkan sebagai calon kerusi DUN Alor Mengkudu.