The 1975 ‘cabut lari’ beberapa jam sebelum laporan polis diterima, kata Ayob
Timbalan ketua polis negara berkata kumpulan itu berlepas pulang pada jam 5.30 dan laporan polis diterima jam 2 petang.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Britain The 1975 meninggalkan negara
beberapa jam sebelum laporan polis dibuat terhadap mereka pada Ahad lalu, kata
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob berkata anggota kumpulan itu berlepas pulang pada jam
5.30 pagi, kira-kira enam jam selepas kejadian kontroversi di konsert Good
Vibes Festival tetapi polis hanya menerima laporan pada jam 2 petang.
“Jadi kita tak sempat nak ambil tindakan, kumpulan ini
berlepas balik pada pagi tersebut,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau mengulas kenyataan bekas menteri dalam negeri Hamzah
Zainudin mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menahan anggota kumpulan
The 1975 sedangkan mereka boleh menahan pemimpin PAS Sanusi Nor pada jam 3 pagi
atas “kesalahan kecil”.
Persembahan The 1975 pada malam Sabtu lalu dihentikan
serta-merta selepas vokalisnya Matty Healy memegang botol arak atas pentas,
selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay,
Biseksual dan Transgender (LGBT).
Kerajaan juga mengarahkan pembatalan
serta-merta baki dua hari festival itu dan menyenarai hitamkan kumpulan itu
daripada membuat persembahan di Malaysia.
Ayob turut menggesa Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem
Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) supaya lebih berhati-hati
apabila membenarkan mana-mana artis membuat persembahan di negara ini.
“Kalau kumpulan artis luar memang pernah terlibat dalam
aksi-aksi kontroversi dan kita rasa tak sesuai dengan budaya kita, tak perlulah
nak jemput lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ayob menafikan dakwaan Sanusi
bahawa plot untuk menangkapnya sudah dirancang sejak enam bulan lalu bagi
menjejaskan reputasinya.
Kata Ayob, polis mula membuat siasatan terhadap kenyataan
Sanusi dalam satu ceramah itu selepas beberapa laporan dibuat pada 12 Julai
lalu.
“Oleh itu, tidak timbul isu atau dakwaan konspirasi dan sebagainya kerana polis melakukan tangkapan berdasarkan laporan diterima,” katanya/