Anwar bantah permohonan Sanusi berkaitan pengampunan diraja
Menurut Anwar (kiri),
permohonan Muhammad Sanusi (kanan) mengenai pengampunan diraja yang diberikan
oleh Yang di-Pertuan Agong terhadapnya (Anwar) pada 16 Mei 2018 adalah di luar
bidang kuasa mahkamah. -Gambar fail
KUALA
LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah
permohonan difailkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya Mahkamah
Tinggi menentukan persoalan undang-undang berkaitan pengampunan diraja yang
diberikan kepada Perdana Menteri itu, lima tahun lepas.
Permohonan
tersebut dikemukakan berikutan saman fitnah Anwar terhadap Menteri Besar Kedah
itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak
bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.
Menurut
Anwar, permohonan Muhammad Sanusi mengenai pengampunan diraja yang diberikan
oleh Yang di-Pertuan Agong terhadapnya (Anwar) pada 16 Mei 2018 adalah di luar
bidang kuasa mahkamah.
Presiden PKR itu berkata berdasarkan Perkara
42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa
Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan
tidak terjejas.
"Terdapat pelbagai kes di Mahkamah
Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan
memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa
keputusan Yang di-Pertuan Agong.
"Ia termasuk keputusan untuk memberikan
saya pengampunan, secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai
apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian," katanya menerusi afidavit
jawapan yang difailkan pada 25 April lepas menerusi Tetuan S.N. Nair di
Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Anwar menegaskan bahawa permohonan Muhammad
Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan
Agong dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah untuk membuat keputusan ke
atas perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.
"Selaras pengampunan diberikan oleh Yang
di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018, saya diampunkan secara penuh dan segala
keburukan ke atas diri saya termasuk rekod-rekod mahkamah adalah diketepikan
dan apa-apa kenyataan menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil
tindakan," kata Anwar menerusi afidavit itu.
Pada 31 Mac lepas, Muhammad Sanusi memfailkan
permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan beberapa
persoalan undang-undang antaranya sama ada pengampunan diraja diberikan kepada
Anwar pada 16 Mei 2018 adalah satu pengampuan penuh yang boleh mengetepikan
sabitan kes jenayahnya.
Permohonan itu difailkan Muhammad Sanusi
antaranya atas alasan berdasarkan rekod-rekod yang dirujuk olehnya, tidak
terdapat sebarang bukti bahawa pengampunan tersebut secara efektif mengakas
kesemua atau sebahagian sabitan jenayah serta memadam kesemua rekod sabitan
jenayah lampau Anwar.
Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff, yang
mewakili Muhammad Sanusi ketika dihubungi Bernama berkata pengurusan kes
ditetapkan pada 28 Jun ini di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Pada 13 Dis tahun lepas, Anwar selaku plaintif
menyaman Muhammad Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan
perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.
Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa
kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan
diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang
di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan
mengkhianati mandat rakyat.
Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu
dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan
menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen
menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA