Pengerusi PN pertahan diri di mahkamah, bukan di hadapan media



 


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Yassin perlu melalui proses di mahkamah untuk membersihkan namanya dan bukan bersikap defensif terhadap pertuduhan berkaitan rasuah dihadapinya.



Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad membuat gesaan itu susulan kenyataan Presiden Bersatu itu sebelum ini bahawa apa-apa siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar dihormati.

"Saya ingat lagi masa kes siasatan terhadap UMNO dibuat dulu, Muhyiddin kata itu adalah proses SPRM dan perlu dihormati.. Sekarang ini ia adalah proses yang sama seperti beliau katakan sebelum ini, malah ia proses bebas.



"Biar proses ini berjalan dan kedua-dua pihak mempunyai kes di mahkamah, jadi kita biarkan proses itu dilalui dan tidak sepatutnya ada rasa defensif dan mereka harus melalui proses mahkamah...," katanya dipetik.



Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata demikian kepada pemberita pada Karnival Alam Kita di pekarangan Stadium Batu Kawan Pulau Pinang.



Muhyiddin, 76 diheret ke Mahkamah pada Jumaat dan didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.



Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta.



Presiden Bersatu itu dijangka akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam jam 9 pagi ini bagi berdepan satu lagi tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berhubung wang dalam akaun parti dipimpinnya.



Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa pertuduhan dikenakan terhadapnya bersifat pertuduhan terpilih serta bermotifkan politik.



Walau bagaimanapun SPRM dan Peguam Negara dalam kenyataan menegaskan proses siasatan dijalankan adalah bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.