Langkah kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman sebagai cagaran pinjaman peribadi
dilihat wajar.
Penganalisis Ekonomi i-CATS Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor
dari University College Kuching ketika mengulas langkah itu memberi pandangan
kaedah tersebut akan memberi penyelesaian kewangan kepada pencarum tanpa menjejaskan
caruman hari tua mereka.
Melalui langkah itu pencarum yang benar-benar memerlukan boleh
memulakan atau meneruskan perniagaan, serta membayar hutang.
"Mereka dapat menunaikan setengah daripada akaun-akaun mereka
yang berbentuk pinjaman dibayar balik semula melalui institusi bank.
"Jadi di sini kita lihat simpanan mereka tidak akan terjejas
dan kita menyangkakan bahawa keperluan mereka inilah keperluan sementara.
Mereka boleh membayar balik secara ansuran kepada pihak bank," katanya
dipetik.
Mengulas lanjut hal berkenaan, Dr Shazali turut mengingatkan Bank
Negara Malaysia (BNM) agar memastikan caj yang dikenakan oleh bank kepada
pencarum tidak lebih daripada dividen yang diberi oleh KWSP supaya pencarum
masih boleh menyimpan.
"Sebagai contoh, jika dividen itu 5.5 peratus, bank tidaklah
boleh caj lebih dari 3 peratus. Mungkin 2.5 peratus setahun secara kadar rata,
di sini masih ada berbaki sebanyak 3 peratus yang boleh dimasukkan pada akaun
pencarum," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu
menawarkan kaedah itu bagi mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk
mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Dengan syarat kaedah diperketatkan, beliau turut menegaskan hanya
individu tertentu sahaja akan diberi pertimbangan menggunakan caruman di agensi
itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan untuk
mengelakkan wang hari tua pencarum itu dikeluarkan secara tidak sewenangnya.