BIARLAH SEJARAH YANG BERCERITA. KISAH SI MAHAZALIM


Apabila dia kalah dalam Pilihanraya Umum tahun 1969 di Parlimen Kota Setar, Kedah, maka doktor muda itu berubah menjadi “ultra-Melayu”. Beliau menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Beliau menyerang Tunku selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

2. Lima puluh tiga tahun kemudian, apabila dia kalah di Parlimen Langkawi dalam Pilihanraya Umum ke-15 pada tahun 2022 sehingga hilang deposit, pemimpin yang telah lanjut berusia itu dengan pencapaian dua kali jadi Perdana Menteri Malaysia, kini menyerang pula Perdana Menteri ke-sepuluh Anwar Ibrahim.

3. Pada tahun 2019, apabila sudah sampai masanya sebagai Perdana Menteri Ketujuh untuk menyerah kuasa Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan oleh gabungan Pakatan Harapan, maka tokoh tersebut berdalih-dalih. Tetapi dalam masa yang sama dia menghimpunkan pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai pertubuhan dan NGO ke dalam suatu pertemuan yang diberi nama Perhimpunan Melayu Bermaruah.

4. Kesan dari perhimpunan itu maka berlakulah episod Langkah Sheraton. Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas itu.

5. Sekarang tokoh yang telah lanjut berusia ini terus mengasak, mengasak dan menyerang Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Apakah dosa Anwar Ibrahim kepadanya, kita pun tidak mengerti.

6. Seperti modus operandi lama yang digunapakai, maka isu sentimen Melayu sekali lagi digunakan.Kali ini tokoh tersebut terlibat dalam usaha mengadakan pertemuan yang dipanggil Perhimpunan Proklamasi Melayu.

7. Setiap kali tokoh ini tersisih dari arus politik negara, dia akan menggunakan kartu atau kad kaum untuk dia kekal relevan.

8. Nasihat saya kepadanya: Usahlah bermain api; nanti terbakar negara sendiri. Cukup-cukuplah.

9. Bagi saya, tidak ada salahnya untuk tokoh berusia ini berbincang dengan penyokong-penyokongnya berkenaan isu nasib orang Melayu sekarang dan akan datang. Berikan kepadanya dewan untuk perhimpunan itu boleh diadakan bagi mereka berbincang secara aman dan selesa.

10. Tetapi saya ingin bertanya kepadanya.Dia telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun kali pertama. Apa yang dia telah buat untuk orang Melayu biasa, kecuali kapitalis-kapitalis kroni anak pinak dan para sahabat sendiri.

11. Sekali lagi pada tahun 2018, dia telah diberi peluang menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan.Kenapa tidak dibuat segala dasar dan program untuk membela nasib orang Melayu?

12. Kenapa sekarang hendak bercakap membela nasib orang Melayu. Sedang peluang telah diberi dengan luas sehingga lebih dua dekad kepadanya sebagai Perdana Menteri.

13. Anwar Ibrahim baru empat bulan jadi Perdana Menteri. Mana kepentingan orang Melayu yang telah digadai oleh Anwar? Jawapannya Tiada.

14. Mana hak-hak orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikompromi oleh Anwar Ibrahim? Juga jawapannya Tiada

15. Kedudukan Bahasa Melayu terjamin. Kedudukan Islam terjamin. Kedudukan Raja-Raja Melayu terjamin.

16. Anwar Ibrahim menegaskan perkara ini berkali-kali sama ada di dalam Parlimen dan di luar Parlimen. Telinga ini mendengar. Diri ini menjadi saksi komitmen Anwar Ibrahim menjaga kepentingan Melayu. Bezanya, sebagai seorang pemimpin negara berbilang bangsa dan agama, Anwar tetap tegas menjaga kepentingan dan hak-hak kaum-kaum lain dan agama lain seperti yang dijamin oleh undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan.

17. Jadi apa salah Anwar Ibrahim sehingga dia hendak ditumbangkan secara tidak sah sekarang, di luar proses pilihanraya? Ini bukan demokrasi. Ini suatu tyranny gerombolan politik songsang.

18. Maka, adalah sangat wajar nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap sesiapa jua yang secara tidak bertanggungjawab cuba membakar sentimen kaum dan agama sehingga menimbulkan ketegangan dan ancaman terhadap ketenteraman awam serta keselamatan negara.

19. Demi keselamatan Malaysia, saya menyokong ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu.

20. Hanya satu, saya berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak melakukan kesalahan yang sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri ke-4 Mahathir Mohamad pada tahun 1988 apabila berhadapan dengan gugatan dan cabaran terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang dipimpinnya.

21. Mahathir telah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1988 itu dengan menahan tanpa bicara lebih 100 orang pemimpin parti politik, pertubuhan NGO dan aktivis masyarakat. Satu titik hitam dalam sejarah demokrasi Malaysia.

22. Saya berharap dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beliau dapat mencari segala ikhtiar alternatif untuk mententeramkan suhu sentimen kaum dan agama yang panas sekarang ini.

23. Elakkanlah Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekarang ini dari menggunakan akta-akta draconian seperti Akta SOSMA untuk menangani tantangan dan cabaran dari pihak lawan.

24. Sebagai alternatif, gunakanlah pendekatan yang lebih berhemah, berdiplomasi, berunding dan berlibat urus dengan pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil serta NGO yang kini menentang secara terbuka terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Gunakan kaedah perundingan bukannya perang.

Sekian

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

19 Mac 2023 (Ahad)