Anwar, sudah tiba masanya untuk kotakan kata-kata! SIRI 2

 

PM harus sedar rakyat akan menuntutnya bekerja dengan piawaian lebih tinggi



Sebaliknya, program yang mengasingkan pelajar mengikut etnik hanya akan mendorong perpecahan antara mereka.

Di bawah konsep madani, pengasingan pelajar mengikut kaum atau etnik sepatutnya tidak akan berlaku. Menteri pendidikan dan pasukannya mesti menyemak dengan teliti semua aktiviti dan program ini dan memastikan amalan diskriminasi tersebut dihapuskan.

Anggaplah saja kontroversi sekolah ini sebagai sebuah ‘isu yang diwarisi’ dari kerajaan terdahulu. Jika menteri ini serius dalam membetulkan keadaan, beliau dan pasukannya harus menggunakan prinsip madani dalam melaksanakan dasar yang adil dan saksama.

Pendedahan baru-baru ini bahawa Anwar telah melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya, berkuat kuasa 3 Januari, mengundang kritikan daripada rakan dan lawan.

Seteru politik seperti pengerusi Perikatan Nasional Mahiaddin Yasin meminta Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan baharunya. Bekas PM itu menambah bahawa Anwar sendiri harus meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan dan menumpukan perhatian untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar menjawab bahawa Nurul Izzah telah mengambil peranan sebagai penasihat khas pro-bono dan oleh itu tidak akan menerima imbuhan daripada kerajaan.

Malangnya, PM gagal mempertimbangkan bagaimana tanggapan umum dalam melantik anak perempuannya sendiri sebagai penasihat kanannya.

Pengkritik melemparkan tuduhan bahawa ia adalah nepotisme dan satu tindakan yang berat sebelah kepada Anwar.

Mereka menegaskan ketika di bawah pentadbiran Abdullah Badawi, kritikan keras telah diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin dan “budak-budak tingkat empatnya” dalam mempengaruhi PM ketika itu.

Begitu juga, siapa yang boleh melupakan pita audio bocor yang disyaki melibatkan Rosmah Mansor yang bertanya (atau mendesak!) PM Najib Razak ketika itu: “Can I advise you something?!”

Ini bukanlah untuk memperleceh kelayakan dan keupayaan Nurul Izzah untuk memainkan peranan yang membina dalam kerajaan.

Namun, dengan melantik dirinya menjadi penasihat kanannya kepada bapanya, Anwar hanya mengundang kritikan dan memberi peluang kepada pesaingnya untuk menyerangnya. Ia adalah sebuah kesilapan yang boleh dielakkan jika Anwar lebih berhati-hati dan peka terhadap tindak balasnya.

Anwar cuba menjelaskan bahawa pelantikan Nurul Izzah adalah berdasarkan pengalaman dan kelayakannya.

Namun yang pasti, Izzah bukanlah satu-satunya bakat yang ada di negara ini. Biarkan beliau memainkan peranan penting namun janganlah pula melantik beliau sebagai penasihat kanan kepada PM, yang kebetulan adalah bapanya.

Anwar telah membentang banyak idea yang memberikan tanggapan baik kepada mereka yang bercita-cita untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan bersatu dalam memerangi rasuah. Pada perhimpunan Tahun Baharu Lunar di Pulau Pinang, beliau berkata “pembangunan akan menjadi lompong jika ia wujud tanpa keadilan sosial atau dalam mengiktiraf kepelbagaian budaya di Malaysia”.

READ MORE:  Worry no more, Mahathir - Anwar can do a far better job than you did!

 

Pengagihan kekayaan perlu seimbang dan lebih banyak perlu dilakukan bagi golongan 40% termiskin dalam masyarakat, tegasnya.

Ada benarnya dengan apa yang dilontar, namun ia masih awal untuk melihat sama ada dasar yang adil dan saksama ini benar-benar akan dilaksanakan.

Oleh itu, Anwar harus memberi perhatian khusus kepada realiti di lapangan. Pengulas Dr Raman Letchumanan dalam artikelnya tanpa berlapik terus mencabar Anwar dan pasukannya, termasuk penjawat awam yang berkaitan, untuk segera meringankan keadaan mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar.

Statistik yang ada cukup membimbangkan: bilangan isi rumah dalam kemiskinan tegar telah menunjukkan trend yang meningkat: 27,158 pada 2019, 78,000 pada 2020, dan 136,000 tahun lepas.

Kekayaan yang ada tidak diagihkan secara adil dan hanya tertumpu di tangan segelintir golongan elit: yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.

Anwar dan pasukannya mesti melipatgandakan usaha dan menghasilkan dasar fiskal yang berani bagi mengurangkan ketidakseimbangan ini. Kita masih jauh untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi; kesan lelehan ekonomi (trickle down) langsung tidak berlaku.

PM dan pasukannya belum pun mentadbir selama 100 hari namun kita sudah pun menyaksikan kontroversi dan kesilapan. Ini sudah dijangka tetapi beliau mesti lebih berhati-hati dan mengelak daripada membuat terlalu banyak kesilapan.

Anwar mesti sedar, melihat kepada semua nilai dan prinsip tadbir urus yang baik yang digagaskannya selama ini semasa berada di barisan pembangkang, rakyat akan menuntut beliau bekerja dengan piawaian lebih tinggi. Anwar tiada pilihan: beliau perlu kotakan kata-katanya.

Apa pun, mengambil pedoman daripada lagu John Lennon berjudul Give Peace a Chance, kita juga harus ‘memberi peluang kepada Anwar’ untuk menunjukkan kepada kita apa yang beliau boleh lakukan.

Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Januari 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

  • Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
  • Tel: 04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com