Tukar kerajaan: Sanusi jangan derhaka titah Agong
Kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Mat Nor yang menyatakan usaha usaha sedang dibuat untuk menukar Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kepada kerajaan baharu mendapat reaksi negatif rakyat.
Bagi Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu, perkataan Sanusi itu menjelaskan sikap tidak beretika dan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong oleh pemimpin Pas ketika ini.
Katanya, Sanusi harus sedar Kerajaan Perpaduan yang wujud sekarang dibentuk atas nasihat Agong setelah Perikatan Nasional ‘jual mahal’ dan sombong enggan bekerjasama dengan PH.
“Tidakkah beliau sedar, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini dibentuk hasil titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Adakah Sanusi setuju penderhakaan dibuat terhadap titah dan nasihat Tuanku ini?
“Ketika kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertungkus lumus berusaha untuk menstabilkan negara demi kepentingan rakyat dan negara, masih ada lagi pemimpin yang cuba mengulangi Langkah Sheraton yang telah dibuat awal tahun 2020 lalu.
“Tidak sedarkah beliau bahawa negara perlukan kestabilan politik untuk memulihkan ekonomi kita sekarang. Apatah lagi dunia bakal berhadapan dengan tahun kemelesetan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut menyeru kepada Sanusi dan Pas yang bijaksana hukum hakam Islam agar tidak lagi menyimpan niat untuk menganiaya rakyat dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan kembali ke era ketidakstabilan politik pada tempoh 2020 – 2022 lalu.
“Tidak sedarkah beliau betapa rosaknya negara apabila kita berada dalam kerajaan yang tidak stabil sepanjang dua tiga tahun lepas ekoran Langkah Sheraton sehingga kita ada tiga Perdana Menteri yang berbeza sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebagai bekas ahli Pas, saya merayu kepada Sanusi lupakanlah kemaruk politik gila kuasa itu buat sementara. Berilah tumpuan untuk membangunkan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh mereka itu.
“Bantulah orang-orang Melayu beragama Islam yang sememangnya majoriti dan ramai di ketiga-tiga negeri itu, agar benar-benar dapat keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Bagi Athirah, Pas yang mempunyai ramai ulama dalam parti berkenaan seharusnya lebih faham konsep takdir dan reda dengan ketentuan Ilahi
Sewajarnya, kata beliau, tumpuan Pas adalah memperbaiki kehidupan rakyat dan mencontohi sikap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi memberi bantuan banjir RM50 juta untuk Kelantan dan juga jumlah sama kepada Terengganu biar pun kedua dua negeri tersebut adalah pembangkang.