AMK LIPAT GANDA PENERANGAN MENJELANG PRN
AMK lipat ganda penerangan menjelang PRN
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia akan melipat gandakan usaha penerangan bagi memastikan rakyat memahami perjuangan parti terutama dalam kalangan anak muda.
Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata cabaran utama AMK adalah untuk memberi penerangan ke enam negeri yang akan mengdakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh beberapa bulan.
“Dalam 6 bulan ini kita akan menghadapi PRN. Sebagai sebuah parti politik, fokus kita akan bertanding dalam pilihanraya dan bercita cita memenangi pilihanraya.
“Kita telah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dalam 2 bulan lepas dan dengan pengalaman cukup mencabar itu sekarang kita tetapkan hala tuju yang tentu sekali sedikit berlainan berbanding PRU lalu
“Ini juga adalah waktu kita memastikan gerak kerja di peringkat lapangan dilipat gandakan. Hala tuju dan penerangan, terutama naratif permasalah tempatan perlu diperhebatkan apatah lagi sebagai sebuah kerajaan, dan orang ramai akan mengharapkan kita menjadi bukan semata mata penyambung suara tetapi menjadi penyelesai masalah.
“Juga pelaksanaan polisi sebagai bechmark yang perlu diisi oleh parti yang sekarang mengisi kepimpinan,” kata Adam Adali ketika ditemui Suara Keadilan selepas mesyuarat Biro Politik di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.
Tegas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, penerangan yang betul amat perlu digerakkan terutama kepada anak muda di negeri yang bakal penghadapi PRN, yang mana pada PRU lalu mereka dipesongkan melalui propaganda negatif terhadap perjuangan KEADILAN dan Pakatan Harapan.
“Dalam PRU lepas, yang mengusarkan kita ialah maklumat salah, terpesong. Sedikit sebanyak menambah persepsi negatif kepada kita.
“Ini tugas yang kita perlu perhebatkan supaya dalam tempoh akan datang kita terangkan polisi kerajaan dan juga agenda yang dibawa parti sebagai sebuah parti reform.
“Apa perubahan nak dibawa, sama ada peringat kementerian dan di peringkat tempatan atau bagaimana perubahan di peringkat bawah memberi manfaaat (kepada rakyat).
“Ini perlu diperjelaskan dan ini tanggungjawab kita. Sekarang dah masuh tempoh di mana kita tidak anggap bulan madu. Ini tempoh berkerja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Adam Adli turut berpuas hati dengan penyertaan pimpinan AMK dalam pentadbiran kerajaan dan peringkat pentadbiran tempatan.
Beliau berharap pimpinan AMK akan menimba pengalaman di samping lebih bersemangat memperkukuhkan parti.