UMNO TAK JEMPUT ANWAR SERTAI PAU


 Pemimpin parti lain, termasuk yang menganggotai kerajaan perpaduan tidak akan dipelawa ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya, PAU 2022 hanya membabitkan ahli Umno, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan “Friends of BN” untuk menyelesaikan isu dalaman parti serta gabungan itu.

“Bukan saja parti lain, malah duta asing juga kita tak jemput, tidak seperti sebelum ini. Setakat ini, itulah keputusannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ahmad berkata, keputusan tidak menjemput parti lain dan duta asing itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno mungkin menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri majlis perasmian PAU 2022.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/01/08/umno-tak-pelawa-rakan-parti-kerajaan-ke-pau-2022/

0