Habis masa degar fitnah bila nak bangun bangsa?
Kempen berbau perkauman dan fitnah masih menjadi senjata PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai untuk mempertahankan mood pengundi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu.
Bagi Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Johari Abdul, strategi yang hampir sama itu telah membawa keputusan yang hampir sama sebagaimana PRU lalu, iaitu pengundi Melayu mempercayai tohmahan PN ke atas Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, katanya, yang menjadi mangsa adalah rakyat yang menjadi pengikut kepada pemimpin yang tidak bercakap benar itu.
“Bila pemimpin bercakap, mereka ada pengikut, jadi bila dia bercakap dia bohong, fitnah, pengikut akan percaya pada dia.
“Antaranya fitnah ini akan merosakkan bangsa dia sendiri. Maknanya benda putih dia kata hitam maka dia merosakkan bangsa. Jadi masyarakat akan berpecah disebabkan fitnah dia.
“Dia mengajar pengikut dia tidak ada kerja lain, selain daripada bercakap kesalahan orang lain, kepincangan orang lain tetapi tidak ada elemen untuk membangunkan diri sendiri,” kata Johari kepada Suara Keadilan.
Masalah besar yang akan dihadapi oleh orang Melayu, kaum terbesar yang menjadi pengundi di Kedah, kata ADUN Gurun itu ialah semakin sempitnya minda mereka dengan agenda yang dibawa pemimpin.
Katanya, orang Melayu tidak akan maju selagi terus percaya kepada pembohongan.
“Tujuan fitnah ini untuk menjatuhkan orang. Macam mana kita nak membangunkan negara bangsa kalau akhirnya kita bercakap benda negatif? Bila masa kita nak bangunkan bangsa? Tak ada
“Akhirnya orang Melayu habiskan masa berjam jam bercakap atau mendengar fitnah. Kita berlegar kepada hal hal yang tidak langsung membangunkan negara tetapi menghabiskan masa.
“Bagi saya, kalau orang kata kita bangsa yang tidak ada moral dan intergriti maka betul lah, jangan marah,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam PRK Padang Serai semalam calon PN Datuk Azman Nasrudin menang menewaskan calon PH dan 3 calon lain dengan majoriti lebih 16,000 undi.
Pemilihan tarikh mengundi pada hari Rabu dikatakan turut menjadi punca kekalahan PH kerana dibuat pada waktu bekerja sehingga peratusan keluar mengundi sekitar 50% sahaja.
Sedangkan pengundi PN kebanyakannya terdiri daripada anak muda yang mengikut rekod bertambah sebanyak 50,000 pada pilihan raya kali ini majoritinya belum bekerja tetap dan mudah untuk keluar mengundi.