Gabungan Rakyat Sabah tinggalkan Bersatu

 


Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengambil keputusan untuk meninggalkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi.


Menurut kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, keputuan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik negara pada ketika ini, terutama di Sabah.


"Kerajaan Negeri yang ditunjangi GRS - BN juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.


"Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.


"Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri negeri Borneo. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik Sabah," katanya.


Berikutan tindakan meninggalkan parti Bersatu itu, kata Hajiji, ahli ahli politik yang bernaung di bawah GRS akan menubuhkan parti tempatan baharu utuk meneruskan gerak kerja politik mereka.


Para pemimpin Bersatu Sabah bermesyuarat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi

Bagaimanapun buat masa ini, kata Ketua Menteri Sabah itu, mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS


"Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara.


"Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan. Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.


Beliau juga menegaskan keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan parti itu adalah atas dasar ia tidak boleh lagi dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.


"Ini kerana di perngkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk seri Anwar Ibrahim


"Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat negeri ini makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihanraya lalu," katanya lagi.


GRS dalam Pilihan Raya Umum ke 15 bertanding di atas logo rasmi yang terpisah daripada Bersatu di peringkat nasional.


Oleh itu ahli ahli politik mereka bebas untuk meninggalkan Bersatu - Perikatan Nasional yang ketika ini adalah pembangkang di peringkat Persekutuan.