Undi BN stabil: Tengku Zafrul salah fakta
Ucapan poster boy Umno Selangor kononnya kerajaan Selangor dan Malaysia akan stabil sekiranya Umno menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 melalut dan mengarut.
Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi, janji Zafrul untuk membantu menstabilkan politik Selangor dan Malaysia tidak masuk akal kerana Umno adalah salah satu agen yang menjadikan politik negara huru hara apabila melancarkan usaha menjatuhkan Pakatan Harapan pada 2020 dan kemudian menjatuhkan kerajaan PN pada 2021.
“Kenyataan Tengku Zafrul tempoh hari hanya igauan beliau sendiri tanpa melihat realiti sebenar. Umnolah yang tidak mampu memberi kestabilan kepada negara dan membantu rakyat.
“Bermula dari kekalahan Umno BN pada PRU 14 yang lepas kemudian mereka menjadi pelopor utama menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.
“Ketika 22 bulan pemerintahan kerajaan PH banyak inisiatif baru membantu rakyat dan juga reformasi sistem. Manakala Umno BN menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat hanya kerana ketagih kuasa untuk kepentingan peribadi
“Apabila tertubuhnya kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yassin, sekali lagi Umno BN menjadi penyebab utama jatuhnya kerajaan tersebut. Seterusnya atas desakan Presiden Umno Perdana Menteri terpaksa pula membubarkan Parlimen ketika musim banjir. Jadi di mana kestabilan yang dikata oleh Tengku Zafrul ini?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Abbas juga mempersoalkan di manakah Zafrul ketika rakyat bergelut dengan kekurangan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan lalu sehingga ada yang menaikkan bendera putih.
Usai pandemik Covid 19, katanya, Menteri Kewangan itu juga gagal mengawal inflasi yang melambung tinggi
“Sehingga kini Jawatankuasa Jihad Inflasi Ekonomi tidak memberi impak 100% kepada rakyat tetapi hanya bersifat populis. Peningkatan OPR kadar faedah kepada bayaran pinjaman pula sehingga kini Menteri Kewangan gagal mengawal dan membantu rakyat.
“Sebaliknya, di Selangor inisiatif Kerajaan Negeri silih berganti. Semua segmen rakyat merasai nikmat di atas inisiatif program berkenaan. Di mana Tengku Zafrul selama ini ? Apakah Tengku Zafrul mahu menjadi penyebab rakyat kembali susah dan tidak dipedulikan ?
“Benarlah seperti diungkap oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor, Kerajaan akan stabil bila Umno hanya minoriti dan rakyat telah melihat sekian lama kerja Umno yang hanya mementingkan sekelompok kawan kawan dan kroni,” kata Abbas lagi.
Beliau mengingatkan Tengku Zafrul sebagai pemain baharu dalam politik agar berhati hati dalam membuat kenyataan kerana politik dan dunia korporat sangat berbeza .