Suami isteri didakwa ejen perisik Mossad bukan ahli PKR
PETALING JAYA: PKR menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan dua daripada 11 individu ditahan dipercayai direkrut oleh ejen perisikan Israel, Mossad merupakan ahli parti itu.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan hasil semakannya dua individu terbabit yang juga suami isteri tidak ada kaitan dengan parti tersebut.
Katanya, tindakan kedua-dua individu itu memuat naik gambar bersama bendera PKR di media sosial adalah pilihan dan kebebasan individu untuk menyokong mana-mana parti politik.
“Semalam, tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu adalah anggota PKR atau ada kaitan dengan parti. Individu itu didakwa mempunyai hubungan dengan Mossad.
“Saya sahkan dua individu itu iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan bukan anggota mana-mana cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.
“Berhubung gambar individu itu mengangkat bendera PKR atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ia tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang warga Palestin berusia 31 tahun diselamatkan sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.
Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor serta Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung penculikan tersebut.
Beliau mengesahkan semua 11 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur minggu lalu merupakan suspek dalam kes penculikan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit.