Peneroka N Sembilan dapat geran tanah, di Johor dapat apa?
Kesetiaan peneroka Felda di Johor kepada BN dipertanyakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Menurut Maszlee, beliau yang baru baru ini diundang untuk menyampaikan bantuan pelajaran daripada Kerajaan Negeri Sembilan terkesan dengan kemampuan kerajaan Pakatan Harapan di sana menyediakan pelbagai skim untuk peneroka Felda Palong di Gemas.
“Kerajaan Negeri Sembilan panggil saya pergi ke Felda Palong, dia buat untuk 5 Felda di situ. Mereka minta saya sampaikan bantuan pelajaran kepada anak anak yang dapat masuk ke universiti, kolej dan pusat latihan.
“Yang masuk universiiti dapat RM1,000 seorang. Masuk kolej dapat RM750, yang sekolah dapat RM500.
“Saya rasa macam selepas ini orang Felda Layang Layang dan Air Hitam (Johor) nak dibawa pindah ke Negeri Sembilan. Baru sedap saya kasi. Tapi tak boleh, bukan orang sana.
“(Malang) kita di Johor daripada Hasni (bekas MB Umno) tak dapat, naik yang baru ni Onn pun tak dapat. Walhal undinya dari Felda banyak,” katanya dalam majlis perasmian Ranting KEADILAN di Felda Air Hitam, Johor kelmarin.
Tambah Dr Maszlee selain bantuan rakyat, Menteri Besar Negeri Sembilan juga berkata peneroka akan mendapat geran tanah. Hal itu amat baik, katanya, kerana tidak sebagaimana kawasan Felda di bawah pentadbiran BN amat sukar peneroka mendapat geran.
“Itulah hakikatnya, di Negeri Sembilan mereka dapat tanah, semua dapat tanah.
“Di Selangor pun serupa juga, anak anak dapat bantuan pelajaran.
“Di Selangor anak anak yang baru lahir terus dapat RM1,000. Kedua dapat insurans percuma. Untuk ibu diberikan bantuan, wanita.
“Sebab itu berani kerajaan PH hari ini bagi contoh kejayaan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Bagi Pengarah Pendidikan KEADILAN Pusat itu, tidak ada yang mustahil dilakukan PH jika diberi lengkap sepenggal memerintah, bukannya 22 bulan.
Negeri Sembilan yang sejak merdeka dianggap tidak mempunyai kewangan banyak, katanya, menjadi bukti terbaik sekiranya dana tidak disonglap pemimpin maka pelbagai skim bantuan boleh diwujudkan
“Terutama Negeri Sembilan. Sebelum ini orang ingat Negeri Sembilan miskin. Hari ini apa yang ditunjukkan oleh PH, duit ada kalau tak disakau
“Jadi kita perlu buat sesuatu. Kita berharap Ranting di Felda Air Hitam kena ramaikan ahli, kedua kena sampaikan maklumat.
“Sebarkan apa sahaja maklumat ke group masjid, sekolah dan sebagainya,” kata beliau lagi.