Faisal Tehrani
Dikemas kini 2 jam yang lalu · Diterbitkan pada 16 Oct 2022 9:00AM ·
SEBENARNYA saya tidak tahu bangsa Melayu mana lagi yang boleh ditipu dan dibohongi dengan motto dan slogan basi Parti Korup Melayu ini lagi kali ini.
Ini selepas semua korupsi, penyelewengan dan kerja kotor mereka terdedah oleh siri perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia, siri penyiasatan oleh SPRM, dan siri pendedahan demi pendedahan jurnalis dalam dan luar negara.
Mereka tanpa segan silu ingin berbohong lagi menggunakan siri motto seperti KeikhlasanDanKejujuran, KestabilanDanKemakmuran, dan BangkitKembali. Siri kesialan apakah ini?
Ada baiknya kita meninjau semua retorika ini dan menganalisis dengan akal benar kita.
Sebagai orang Melayu Islam kita tidak boleh tertipu banyak kali. Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya.
Pertama, “Keikhlasan Dan Kejujuran”. Saya tidak tahu bagaimana yang boleh dikatakan ikhlas dan jujur apabila Dewan Rakyat baru ini dibubar sebaik sahaja Bajet atau Belanjawan dibentangkan.
Ikhlaskah memberikan “gula-gula habuan” kemudian mengatakan tanpa malu, kalau mahu gula-gula maka undi kami.
Tahukah pak cik mak cik berapa ramaikah anak-anak mereka selaku penjawat awam di Kementerian Kewangan yang telah bersengkang mata bekerja untuk menyediakan bajet lumayan tabur duit tersebut?
Bajet ini dibentangkan dan kemudian diketepikan. Itu saja satu cara pembodohan.
Punyalah siri bodoh dan huru-hara, kita dipaksa ke peti undi walaupun masih ada satu tahun lagi hayat kerajaan ini. Mereka memberi alasan bermacam-macam. Seperti terlihat punyalah huru-hara dan tergesa-gesa pilihan raya ini, kita terpaksa berkejar melakukannya sebelum banjir datang melanda. Apa yang ikhlas dan jujurnya di sini?
Sebelum ini pun ada beberapa Pilihan Raya Negeri dipaksakan oleh segelintir dari parti keparat ini seperti di Sabah, Melaka dan Johor semata-mata untuk memenuhkan tembolok mereka. Siri kesialan apakah ini? Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya.
Belum kering isu dan heboh penyamunan wang negara menerusi isu 1MDB yang membikin Malaysia malu di mata dunia. Kita terpaksa menghadap pula isu kapal LCS.
Tahukah mak bapak kalian di kampung yang pada 4 Ogos 2022, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.
Duit negara diseleweng 6 bilion, oiii pak cik mak cik.
Kalau duit getah sekerap pak cik mak cik hilang 60 ringgit dari poket pun tentu lekas perasan; inikan 6 bilion. Adakah ini ikhlas dan jujur? Atau sial?
Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya.
Maka itu sebab perlu ada Pilihan Raya Umum cepat-cepat untuk menutup bangkai gajah ini. Pak cik mak cik, PRU15 cepat-cepat ini adalah usaha untuk menutup bangkai kapal LCS dengan nyiru. Dapatkah bangkai 6 bilion ditutup?
Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya. Jadi di mana ikhlas dan jujurnya? Sebagai orang Melayu Islam kita tidak boleh tertipu banyak kali.
Keduanya, motto “Kestabilan Dan Kemakmuran”. Ini satu lagi bentuk penipuan yang nyata. Motto ini adalah jerit basi ketika PRU14 tahun 2018 dahulu yang kita rakyat telah pun tolak.
Pada 9 Mei 2018, Najib Razak dalam ucapannya “The Right Choice to Make Malaysia Greater” sudah menjejerkan gebangnya KestabilanDanKemakmuran ini. Konon sangatlah stabil dan makmur.
PRU14 bukannya berlaku zaman banjir Nabi Noh yang membuatkan kita terus lupa ingatan. Ketika era Najib Razak yang tak berapa tahun lampau kita berdepan dengan pendapatan yang tidak meningkat, kenaikan harga barang, korupsi (1MDB), GST dan hari ini masih berlaku yang sama selepas Muhyiddin Yassin, puak Ismail Sabri dengan bantuan PAS bekerjasama untuk mencuri mandat rakyat tahun 2018 itu. Masih sama malah makin teruk.
Jika dibandingkan pertukaran mata wang asing, Malaysia makin tercirit. Jika direnung pelaburan luar, Malaysia kian termenung.
Kalau kita tidak keluar dari sial ini, siapa lagi yang akan bawa kita keluar dari semua siri sial ini ya? “Kestabilan Dan Kemakmuran” apa sialnya? Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya. Jadi di mana ikhlas dan jujurnya?
Siapa yang hendak dibodohkan di sini, bandingkanlah harga kuih koci yang mak cik baham tiap hari Ahad di kedai janda yang pak cik kunjungi itu; dengan harga kuih koci yang mak cik telan hari minggu dari kedai janda sama (tapi waktu itu laki dia belum masuk jel dan mati di dalam) iaitu kira-kira empat tahun lepas.
Sebagai orang Melayu Islam kita tidak boleh tertipu banyak kali. Siapa yang stabil dan makmur, wahai mak cik? Jangan mudah-mudah kena tipulah.
Ketika 2018, masih ada 35% ke 40% peratus Melayu masih mengundi parti korupsi. Yang masih tak ikut cakap Nabi Muhammad agar menjauhi penipuan, penyelewengan dan juga kemunafikan.
Dalam siri perbicaraan segala jenayah telah dilondehkan. Mak cik pak cik jangan dibohongi di Facebook. Orang terpelajar macam anak-anak makcik dan pak cik membaca dan mengetahui apa yang diselongkar di mahkamah.
Ini satu lagi, motto lain ialah “Bangkit Kembali”. Kalau negara ini dibuatkan mati pucuk oleh Parti Korup Melayu ini bolehkah pak cik dan atuk sekalian rasa anu ekonomi kita bangkit kembali?
Anak cucu pakat segan habis bila ke luar negara digelakkan orang kerana korup dan kurap negara ini. Habis sekian rasuah dan korupsi negara kita dibincangkan orang. Beli kapal, kapal pun tak tiba. Malaysia dianggap tak bangkit dah.
Kita punya anu tak bangkit sebab apa? Hutang mak cik. Anu pak cik tak naik sebab hutang. Siapa punya kerja? Kadar hutang negara kini telah mencecah RM979.814 bilion atau 63.4 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini yang terkini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 dan merupakan peningkatan sebanyak RM100 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Ini bermakna mak cik setiap 16 sen daripada RM1 hasil kerajaan terpaksa digunakan hanya untuk membayar faedah hutang. Nak naik macam mana?
Apa yang bangkit kembali mak cik? Beras tak ada, keras tak ada; takkan waras mak cik pak cik juga sudah hilang? Mengapakah nak pilih lagi yang jantan-jantan mati pucuk ini untuk mengepalai negara kita?
Nabi Muhammad saw melarang umatnya disialkan. Haram hukumnya. Kalau kita ingin bangkit kembali, yang perlu kita lakukan ialah dengan menebus kembali penipuan, pengkhianatan dan kemunafikan ahli politik mati pucuk, politikus mati pucuk dan lebai mati pucuk ini semua. Nyahkan mereka. Melayu jangan terus mati pucuk.
Saya tidak tahu bangsa Melayu mana lagi yang boleh ditipu dan dibohongi dengan motto dan slogan basi segelintir Umno ini lagi kali ini.
Ini selepas semua korupsi, penyelewengan dan kerja kotor mereka terdedah oleh siri perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia, siri penyiasatan oleh SPRM, dan siri pendedahan demi pendedahan jurnalis dalam dan luar negara. – 16 Oktober, 2022.