Nama Malaysia terjejas angkara
sesetengah pemimpin UMNO
Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu Tan Sri
Muhyiddin Yassin. - Gambar Agenda Daily
Kesilapan dilakukan
sesetengah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak beberapa tahun
kebelakangan menyebabkan kedudukan Malaysia pada mata dunia terjejas, kata
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya Malaysia
sebelum ini terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pembangunan fizikalnya
sahaja, tetapi juga dari aspek pembangunan manusia, sosial dan ekonomi.
“Bagaimanapun sejak
beberapa tahun kebelakangan ini kesilapan beberapa pemimpin dari parti UMNO dan
Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan kedudukan Malaysia merosot sehingga
menjejaskan imej baik selama ini.
“Lebih mendukacitakan,
negara juga semakin rosak sehingga ke tahap memalukan kerana perbuatan tidak
amanah, rasuah, tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin.
“Tindak-tanduk mereka juga
menyebabkan kesusahan kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan,
malam ini.
Muhyiddin
yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata disebabkan itu keberadaan Bersatu dalam
kancah politik negara adalah dengan satu matlamat besar iaitu meletakkan negara
ke satu tahap yang lebih mulia dan lebih dihormati.
Presiden
Bersatu itu berkata penubuhan Bersatu juga bertujuan mengembalikan semula
kedudukan negara ke tahap yang lebih baik dan rakyat dapat menikmati kekayaan
ekonomi negara dengan saksama.
“Saya
percaya Bersatu dan Perikatan Nasional dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik
kepada rakyat dan negara ini sebagaimana dibuktikan ketika menjadi kerajaan
sebelum ini.
“Justeru,
adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan kepada seluruh rakyat
tentang keperluan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya
akan datang bagi mengelakkan musibah yang lebih dasyat berlaku ke atas negara
ini,” katanya.
Muhyiddin
mengajak rakyat berfikir dan membayangkan sekiranya UMNO dan BN berkuasa
semula, dengan segala perangai lama iaitu rasuah, kleptokrasi, salah guna
kuasa, dan penyelewengan akan berulang.
Sehubungan
itu, beliau menyeru seluruh ahli parti agar lebih agresif dalam gerak kerja
parti terutama dalam menambah bilangan ahli seramai mungkin selain mempersiapkan
diri dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak
lama lagi.