Siap sedia hadapi risiko banjir
pada Nov, Nabi utama kepentingan ramai: Agong
Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Semua
agensi pihak berkuasa dan rakyat jelata dinasihati melakukan persediaan
menghadapi bencana banjir, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Sultan
Abdullah bertitah setiap tahun pada bulan November kebiasaan berlakunya
peralihan cuaca dan berisiko mengakibatkan negara dilanda bencana banjir,
disamping bertitah agar pemimpin negara mencontohi sifat Rasulullah yang
mengutamakan kepentingan ramai bukan individu semata-mata.
“Setiap
tahun pada bulan November, negara akan berhadapan dengan risiko banjir, malah
baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia
akan berhadapan dengan hujan lebat serta risiko banjir besar.
“Beta
ingin mengingatkan seluruh rakyat beta untuk memperkemaskan diri dan melakukan
persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak,”
titah Seri Paduka.
Baginda
terdahulu berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444
Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala
Lumpur hari ini.
Untuk
rekod, Baginda sebelum ini juga berkenan berangkat mendengar taklimat persiapan
menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara
(PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, Selangor.
Titah
Al-Sultan Abdullah lagi, persediaan itu bukan hanya dalam aspek mengurangkan
kesan banjir tetapi merangka satu kaedah bagi memastikan bantuan kepada mangsa
dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif.
Seri
Paduka bertitah ini selaras dengan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang
menuntut umatnya untuk sentiasa melakukan persediaan dalam menghadapi sebarang
kemungkinan pada masa hadapan.
“Konsep
pemerintahan yang dituntut Islam adalah merupakan satu amanah yang sentiasa
dalam ruang lingkup ikatan perjanjian antara manusia dengan penciptaNya.
“Maka
setiap apa yang dilakukan pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar
menjaga kemaslahatan ummah,” titah Seri Paduka.
Titah
Seri Paduka, pemimpin dan rakyat wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan
Kerajaan Madinah di bawah pentadbiran Rasulullah SAW yang mengutamakan
kepentingan orang ramai dan bukan kepentingan individu.
“Baginda
(Rasulullah SAW) mengutamakan kepentingan ramai berbanding individu. Baginda
tidak memperjuangkan agenda sempit sebaliknya berlaku adil dengan membangunkan
satu gagasan untuk kesejahteraan ummah,” titah Al-Sultan Abdullah.
Dalam pada itu, spekulasi bertiup kencang UMNO masih mendesak dan mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan semasa musim tengkujuh juga.