Apa peranan utama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi?



Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya menonjolkan peranan dalam menyelesaikan secara tuntas isu kenaikan harga barang keperluan rakyat, bukannya sekadar membuat jualan murah di kawasan tertentu.



Hal berkenaan dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) dalam sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.



Anwar dalam pertanyaan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu penjelasan lebih terperinci tentang langkah yang dilakukan kementerian dalam mengawal harga barang.



"Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad merentasi kementerian, bermakna ini bukanlah tugas terbatas kepada kementerian YB sahaja.



"Kalau kata pasukan jihad maknanya langkah yang diambil lebih berstruktural. Ada masalah besar umpamanya kepada pertanian, pengeluaran. Hal yang mungkin tidak terbatas kepada tugas dan skop kerja kementerian YB.



"Sebab itu saya tujukan soalan ini kepada jawatankuasa khas jihad tangani inflasi



"Saya juga berterima kasih kerana jualan murah, langkah sementara biar pun Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan setahun yang lalu," katanya.



Selain itu, Anwar menimbulkan isu kawalan eksport ke atas minyak sawit agar harga dalam negeri serta bekalannya dapat dikawal dan memanfaatkan pengguna golongan B40 sementelah Malaysia pengeluar utama minyak sawit dunia.



"Minyak sawit ini banyak rayuan bekalan tidak diperolehi di beberapa tempat. Ada aduan di Port Dickson, di Bandar Tun Razak, begitu juga Jelebu.



"Cadangan kita yang lebih serius ialah syarikat besar yang mencacat keuntungan berbilion setahun kita kawal 10% (daripada pengeluaran) dan jual dalam negeri



"Keupayaan kerajaan berunding dengan syarikat besar lemah sekali, mengalah terus. Syarikat untung bilion ringgit, apa salah letak syarat 10%, 15% jual dalam negeri dengan keuntungan kecil dan tidak ikut pasaran dunia," katanya.



Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu juga menimbulkan isu kejatuhan nilai ringgit dan menempelak Menteri Kewangan kerana berkata kejatuhan ringgit tidak membimbangkan.



"Ini satu satunya di dunia Menteri Kewangan yang tidak bimbang dengan nilai ringgit jatuh," katanya.



Anwar juga menyoal Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna mengenai langkah penyelesaian tuntas masalah kenaikan harga barang.



"Soalan saya, nak tahu dengan jelas keupayaan, kesanggupan jawatankuasa jihad ini. Sebut jihad berat bunyinya. Mesti ada kesanggupan mengambil langkah tegas, cuba cari penyelesaian



"Apakah langkah yang lebih struktural yang dianggap perubahan dasar yang menjamin harga tidak tinggi?



"Di Malaysia kadar inflasi makanan sangat tinggi, lebih tinggi dari Brunei, Singapura dan Vietnam. Tahniah kerana lebih rendah dari Myanmar.



"Susu, telur kadar inflasi 9.4%, sangat tinggi," katanya lagi.



Bagaimanapun Nanta Linggi menjawab kerajaan mempunyai Majlis Kos Sara Hidup Negara (nacol) yang mengenalpasti isu dan kos sara hidup rakyat jangka sederhana dan panjang.



"Jihad inflasi jangka pendek tangani isu. Ada juga jawatankuasa teknikal yang perincikan langkah yang akan diambil," katanya.



Mengenai kawalan eksport minyak masak pula, kerajaan BN - PN tidak mahu mengalah. Nanta Linggi berkata, telah melakukan libat urus dengan pihak industri, mencadangkan 10% keluaran minyak sawit untuk domestik. Cuma, katanya, setakat ini belum ada persetujuan dicapai dengan syarikat besar.