Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya menonjolkan peranan dalam
menyelesaikan secara tuntas isu kenaikan harga barang keperluan rakyat,
bukannya sekadar membuat jualan murah di kawasan tertentu.
Hal berkenaan dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH -
Port Dickson) dalam sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.
Anwar dalam pertanyaan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan
Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu penjelasan lebih
terperinci tentang langkah yang dilakukan kementerian dalam mengawal harga
barang.
"Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad merentasi kementerian,
bermakna ini bukanlah tugas terbatas kepada kementerian YB sahaja.
"Kalau kata pasukan jihad maknanya langkah yang diambil lebih
berstruktural. Ada masalah besar umpamanya kepada pertanian, pengeluaran. Hal
yang mungkin tidak terbatas kepada tugas dan skop kerja kementerian YB.
"Sebab itu saya tujukan soalan ini kepada jawatankuasa khas
jihad tangani inflasi
"Saya juga berterima kasih kerana jualan murah, langkah
sementara biar pun Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan setahun yang
lalu," katanya.
Selain itu, Anwar menimbulkan isu kawalan eksport ke atas minyak
sawit agar harga dalam negeri serta bekalannya dapat dikawal dan memanfaatkan
pengguna golongan B40 sementelah Malaysia pengeluar utama minyak sawit dunia.
"Minyak sawit ini banyak rayuan bekalan tidak diperolehi di
beberapa tempat. Ada aduan di Port Dickson, di Bandar Tun Razak, begitu juga
Jelebu.
"Cadangan kita yang lebih serius ialah syarikat besar yang
mencacat keuntungan berbilion setahun kita kawal 10% (daripada pengeluaran) dan
jual dalam negeri
"Keupayaan kerajaan berunding dengan syarikat besar lemah
sekali, mengalah terus. Syarikat untung bilion ringgit, apa salah letak syarat
10%, 15% jual dalam negeri dengan keuntungan kecil dan tidak ikut pasaran
dunia," katanya.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu juga menimbulkan isu
kejatuhan nilai ringgit dan menempelak Menteri Kewangan kerana berkata
kejatuhan ringgit tidak membimbangkan.
"Ini satu satunya di dunia Menteri Kewangan yang tidak
bimbang dengan nilai ringgit jatuh," katanya.
Anwar juga menyoal Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal
Pengguna mengenai langkah penyelesaian tuntas masalah kenaikan harga barang.
"Soalan saya, nak tahu dengan jelas keupayaan, kesanggupan
jawatankuasa jihad ini. Sebut jihad berat bunyinya. Mesti ada kesanggupan
mengambil langkah tegas, cuba cari penyelesaian
"Apakah langkah yang lebih struktural yang dianggap perubahan
dasar yang menjamin harga tidak tinggi?
"Di Malaysia kadar inflasi makanan sangat tinggi, lebih
tinggi dari Brunei, Singapura dan Vietnam. Tahniah kerana lebih rendah dari
Myanmar.
"Susu, telur kadar inflasi 9.4%, sangat tinggi," katanya
lagi.
Bagaimanapun Nanta Linggi menjawab kerajaan mempunyai Majlis Kos
Sara Hidup Negara (nacol) yang mengenalpasti isu dan kos sara hidup rakyat
jangka sederhana dan panjang.
"Jihad inflasi jangka pendek tangani isu. Ada juga
jawatankuasa teknikal yang perincikan langkah yang akan diambil," katanya.
Mengenai kawalan eksport minyak masak pula, kerajaan BN - PN tidak
mahu mengalah. Nanta Linggi berkata, telah melakukan libat urus dengan pihak
industri, mencadangkan 10% keluaran minyak sawit untuk domestik. Cuma, katanya,
setakat ini belum ada persetujuan dicapai dengan syarikat besar.