Rosmah bersalah, usaha mantan Menteri Pendidikan PH dedah korupsi berjaya



Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak disambut baik oleh mantan Menteri Pendidikan era Kerajaan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik


Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN lega kerana usahanya membawa kes tersebut ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 lalu telah menyerlahkan kebenaran.


"Kebenaran akhirnya tertegak, keadilan akhirnya terlaksana.


"Kezaliman mengambil hak anak-anak Malaysia di Sarawak yang bergelut dengan kepayahan demi menimba ilmu kini terbalas.


"Saya rasa bersyukur kerana apa yang telah saya dedahkan dan bawakan kepada pihak SPRM dan polis mengenai isu ini pada tahun 2018 ketika di Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini telah terbukti," katanya.


Pengerusi Biro Pendidikan Pakatan Harapan itu juga berharap lebih banyak ahli politik yang menyeleweng akan didapati bersalah dan proses untuk menghadapkan ke mahkamah mana mana koruptor diteruskan.


"Semoga lebih ramai koruptor dan kleptokrat akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah mereka.


"Semoga ada sinar buat Malaysia yang lebih bersih," katanya lagi.


Petang tadi, Rosmah Mansur dijatuhkan hukuman bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.


Menurut hakim Zaini, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.


Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion.


mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta atau tambahan penjara 30 tahun sekiranya gagal membayar denda di atas kesalahan tersebut.


Hakim Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.