Dari Rafizi Ramli
11 Ogos 2022
SUBKONTRAKTOR CAD & CED MILIK MAJORITI BOUSTEAD TETAPI
DIKAWAL BUKAN RAKYAT MALAYSIA
Saya telah mendedahkan bagaimana projek kapal perang LCS
menggunakan dua lapis subkontraktor (iaitu CAD dan CED) sehingga menyebabkan
kos naik tiga kali ganda (kos sebenar dari DCNS hanya RM397 juta tetapi yang
dituntut dari kerajaan oleh subkontraktor adalah RM1.2 bilion).
Seperti yang diduga, Dato’ Seri Najib Razak dengan cepat
menjawab bahawa subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan
Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat-syarikat bersekutu
LTAT.
Beliau langsung tidak menjawab isu komisen 200% yang saya
timbulkan, cukup sekadar membayangkan dia tidak terbabit dalam skandal ini
kerana subkontraktor CAD dan CED adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.
Berikut adalah latar belakang pembabitan LTAT (melalui Boustead)
di dalam CAD:
• Anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation
(BHIC) meluluskan pembelian saham 51% di dalam CAD pada 28 April 2010. 49% lagi
saham CAD dimiliki oleh Rheinmetall Air Defence AG (RAD), sebuah syarikat
kontraktor pertahanan dari Jerman yang dipegang melalui anak syarikat milik
penuhnya RD Investment AG.
• Keputusan untuk membeli saham majoriti CAD itu dibuat di dalam
satu mesyuarat Lembaga Pengarah BHIC bertarikh 28 April 2010, iaitu setahun
setengah sebelum Kerajaan Malaysia melantik BNS menjadi kontraktor membangun
dan membina 6 kapal perang LCS melalui satu surat lantikan (LOA) bertarikh 16
Disember 2011.
• Dalam perjanjian pembelian 51% pegangan dalam CAD bertarikh 13
Ogos 2010 di antara BHIC (melalui anak syarikatnya) dan RAD (melalui anak
syarikatnya), BHIC bersetuju bahawa RAD yang mempunyai kawalan pengurusan
(“management control”) ke atas CAD, walaupun CAD dimiliki secara majoriti oleh
BHIC.
• Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan
keputusan tidak masuk akal ini adalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas Ketua
Pegawai Eksekutif LTAT yang diketahui umum cukup rapat dengan Najib Razak.
Ini adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Dalam mana-mana
aturan syarikat yang mempunyai dua pemegang saham berbeza, kawalan pengurusan
dipegang oleh pemegang saham majoriti.
Sebab itu saya sebut, berdasarkan semua bukti setakat ini, ia
membayangkan ada perancangan tersusun dari awal untuk memastikan penyelewengan
di dalam projek LCS ini dapat disembunyikan melalui pelbagai transaksi rumit,
termasuk mewujudkan dua lapisan subkontraktor sedangkan BNS boleh saja
menguruskan projek ini dengan sendiri.
Akibat dari keputusan tidak masuk akal itu, CAD hanya dimiliki
oleh Boustead (dan LTAT) atas kertas sahaja. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan
Ketua Pegawai Kewangan (CFO), dua jawatan pengurusan paling penting di dalam
CAD dipersetujui dilantik oleh RAD (bukannya Boustead/LTAT). CEO CAD adalah
Gordon Hargreave yang mewakili RAD.
Selain dari mengawal pengurusan CAD, wakil-wakil RAD juga diberi
kuasa menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada
wakil BHIC di dalam CAD. Laporan siasatan dalaman ke atas kelewatan projek LCS
secara jelas menyebut perkara-perkara berikut:
• Kedua-dua wakil RAD iaitu Luitjen Rolf Ennega (kemudian
ditukar dengan Frank Hoffmann) dan Gordon Hargreave adalah dua orang
penandatangan cek dalam kumpulan had kuasa (“Limits of Authority”) yang sama.
Ini bermakna, untuk meluluskan sesuatu perbelanjaan atau membuat pembayaran,
mereka berdua boleh menurunkan tandatangan tanpa perlu mana-mana wakil dari
BHIC.
• Laporan menyebut “This gave an absolute authority to RAD to
handle the finances of CAD despite BHIC holding 51% shares” yang bermaksud “Ini
memberi kuasa penuh kepada RAD untuk mengendalikan urusan kewangan CAD walaupun
BHIC memegang saham majoriti 51%”.
Lebih teruk lagi, BHIC memberi alasan RAD perlu dibawa masuk
untuk mendapatkan kepakaran mereka dan membolehkan pemindahan teknologi dalam
menjayakan projek LCS ini.
Semakan umum boleh menunjukkan bahawa kepakaran sebenar RAD
adalah dalam membangunkan “fire control systems”(FCS atau sistem kawalan
tembakan) bukannya dalam mengendalikan keseluruhan projek yang melibatkan
komponen-komponen lain seperti “combat management system” (CMS).
Kepakaran RAD dalam membangunkan FCS ini diperakui sendiri dalam
satu kenyataan media oleh syarikat induk RAG iaitu Rheinmetall AG bertarikh 27
Februari 2012 (paparan skrin saya sertakan bersama), muka surat 2 perenggan 10:
“.. The Defence Electronics business unit, led by Luitjen
Ennega, includes command and fire control systems as well as reconnaisance
systems.”
Luitjen Ennega adalah wakil RAD di dalam CAD.
Siasatan dalaman juga mengesahkan bahawa wakil-wakil TLDM dan
Boustead yang menganggotai kumpulan projek LCS telah mempersoalkan kepakaran
RAD mengendalikan keseluruhan projek, sedangkan kepakaran sebenarnya hanyalah
dalam satu komponen projek sahaja.
Muka surat 29 laporan dalaman menyebut (diterjemahkan):
“... Berdasarkan perbincangan kumpulan penyiasat dengan [INDIVIDU
XX], beliau menyatakan kepakaran utama RAD adalah untuk membangunkan Fire
Control System (FCS) sahaja dan RAD telah diberikan lantikan subkontraktor bagi
pakej itu berjumlah RM347 jua. Maka, tidak logik BNS bergantung kepada CAD/CED
untuk membangunkan dan menguruskan perbekalan komponen-komponen lain
terutamanya Combat Management System (CMS) dan BIT Centre. Nampak sangat ia
perjanjian berat sebelah yang hanya menguntungkan RAD kerana mereka boleh
menimba kepakaran (dari pakej-pakej lain) dalam bidang yang mereka tidak ada
kepakaran..”
Perkara ini ditimbulkan berkali-kali oleh bekas Panglima TLDM,
Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Jaafar. Siasatan dalaman ke atas
pelaksanaan projek memetik teguran-teguran beliau seperti berikut:
“... Siasatan ke atas minit Lembaga Pengarah menunjukkan bekas
Panglima TLDM (Tan Sri Aziz) telah beberapa kali menyatakan kebimbangannya
kerana projek LCS nampak terlalu bergantung kepada subkontraktor CAD/CED.
Beliau juga menasihatkan BNS supaya melibatkan pihak lain untuk mengurangkan
risiko pergantungan itu..”
Maka, untuk menjawab Najib, saya simpulkan dan timbulkan
perkara-perkara ini:
1. Atas campur tangan siapa yang begitu berani hingga
Boustead/BNS melepaskan kawalan ke atas subkontraktor CAD/CED kepada bukan
rakyat Malaysia sedangkan Boustead memegang saham majoriti?
2. Atas pengaruh dan campur tangan siapa yang membawa masuk RAD
sedangkan maklumat pada ketika itu menunjukkan mereka tidak ada kepakaran
sepenuhnya untuk mengendalikan projek ini?
Sebab itu, saya tegaskan sekali lagi bahawa bukti-bukti setakat
ini menunjukkan penyelewengan dalam projek LCS telah dirancang dari awal,
termasuk dengan mewujudkan syarikat-syarikat yang atas kertas nampak milik LTAT
tetapi dikawal oleh individu-individu tertentu.
Persoalan paling besar: siapa jerung besar di belakang
individu-individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa sebegitu rupa?
RAFIZI RAMLI