KEADILAN tolak sebarang kerjasama dengan PN - Najwan




 KEADILAN Shah Alam menyambut baik kenyataan tegas Timbalan Presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli semalam yang menolak sebarang usaha membentuk kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.


Menurut Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam, Najwan Halimi, penyokong dan rakyat masih tidak dapat melupakan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin Bersatu yang menguasai PN, khususnya Tan Sri Mahiaddin Yassin sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 lalu.


"Rakyat tidak akan lupa kepada pengkhianatan yang telah dikepalai Mahiaddin dan konco-konconya pada Februari 2020 sehingga meruntuhkan pentadbiran yang dipilih oleh rakyat dalam PRU 14.


"Ternyata, Mahiaddin dan gerombolan pengkhianat di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini semakin terdesak justeru tanpa perasaan malu mulai menggesa agar parti-parti pembangkang bekerjasama dengan mereka.


"Apakah mereka lupa bahawa ketika ini mereka adalah parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN)?


"Tidak malukah pimpinan PPBM yang sebelum ini mengkhianati rakan-rakan dalam PH membentuk kerajaan bersama golongan kleptokrat tetapi kini mahu mengkhianati BN dan mahu membentuk kerjasama dengan PH pula? Kini jelas PPBM tak lebih sekadar sebuah parti politik picisan yang tidak punya prinsip dan sekadar memikirkan kuasa ketimbang agenda membela nasib rakyat," katanya.


Sehubungan itu, ujarnya, KEADILAN Shah Alam mahu pimpinan KEADILAN dan PH untuk konsisten menolak PN yang bermasalah biar apa pun tawaran gabungan itu selepas ini.


"KEADILAN Shah Alam mendesak agar pimpinan KEADILAN dan PH untuk tegas menolak sebarang bentuk rundingan atau kerjasama politik dengan PN di semua peringkat.


"Apa yang mustahak adalah menggerakkan ikhtiar untuk memperkukuh PH dalam usaha memenangi kembali sokongan rakyat seterusnya memenangi PRU 15 kelak," katanya lagi.

No comments: