Di bawah BN - PN pampasan tanah Kg Sg Baru 'naik' RM500 sekaki, dulu PH tawarkan RM1,000 sekaki

 

Penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur boleh melihat sendiri 'kerajaan Melayu - Islam' merampas hak tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang diambil paksa dengan harga tidak setimpal berdasarkan nilai semasa.


Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, nilai pampasan yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Sg Baru oleh kerjaaan Melayu itu hanyalah separuh daripada yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 lalu.


"Kadar pampasan yang diberikan hanya dinaikkan sekitar 15% sahaja dari yang ditawarkan pada bulan Mei 2022. Sebelum ini Kerajaan BN-PN mencadangkan pengambilan tanah tersebut dengan kadar RM450 satu kaki persegi.


"Keputusan terbaharu selepas selesainya sesi pendengaran kedua beberapa hari lalu menetapkan kadar RM500 sekaki berbanding (laporan penilai bebas) RM1,800 harga pasaran.


"Semasa Kerajaan PH memerintah, saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan telah menawarkan RM1,000 sekaki untuk pemilik tanah Kampung Baru, iaitu tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) yang terletak bersebelahan Kampung Sungai Baru," kata Khalid dalam satu kenyataan media.


Menurut beliau, tawaran pembelian tanah ketika itu tidak termasuk tanah Kampung Sungai Bharu yang tidak ada sekatan untuk Bumiputra sahaja sebagaimana tanah MAS kerana sejak 2016 lagi pembelian tanah tersebut dirunding antara pemaju dan pemilik.


Kerajaan PH katanya tidak campurtangan dalam hal rundingan antara pemaju swasta dan pemilik atas dasar "willing buyer, willing seller".


Ujar Khalid lagi, ketika kerajaan PH menawarkan RM1,000 sekaki persegi itu, Tan Sri Annuar Musa menegaskan yang tawaran tersebut tidak mencukupi dan kerajaan sepatutnya menetapkan harga mengikut "harga pasaran".


Najib Razak pula, dalam hantaran Facebooknya bertarikh 21 September 2019 berkata harga tanah di KLCC yang terletak bersebelahan Kampung Baru mencecah RM3,000 sekaki persegi.


"Mengapa setelah Tan Sri Annuar Musa dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, kerajaan PN - BN menetapkankan nilai pampasan begitu rendah bagi penduduk di kawasan terletak di sebelah tanah Kampung Baru itu?


"Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Kerajaan BN, Datuk Seri Shahidan Kassim pula seakan-akan meletakkan kesalahan kegagalan untuk mencapai kata sepakat di bahu para penduduk, sedangkan para penduduk mengharapkan pembelaan dari menteri bagi mendapat harga yang adil.


"Kerajaan BN - PN perlu adil kepada penduduk dengan memberikan pampasan yang selayaknya kepada mereka dan menghormati mereka sebagai pemilik tanah di situ. Mereka bukan setinggan," tegas Khalid.


Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk kepentingan pemaju swasta pula adalah duluan yang sangat berbahaya. Hal itu bukan untuk kepentingan awam dan kerajaan PH tidak menggunakannya walaupun untuk initiatif pembangunan yang diambil oleh kerajaan sekalipun.


Pihak Perbadanan Kampung Baru (PKB) pada masa PH, katanya, berusaha mendapatkan persetujuan pemilik tanpa ada unsur paksaan atau rampasan. Waktu itu Datuk Seri Ismail Sabri sendiri memberi teguran tidak boleh gunakan Akta Pengambilan Tanah selain untuk projek kepentingan awam seperti membina sekolah atau hospital.


"Oleh itu, kami mendesak kerajaan berhenti menyalahgunakan kuasa Akta Pengambilan Tanah untuk merampas hak rakyat demi kepentingan pemaju swasta ini.


"Sepatutnya akta ini digunakan untuk membina kemudahan awam, bukan untuk merampas tanah penduduk untuk diberikan kepada pihak pemaju swasta.


"PH juga mendesak agar sesi libat urus dan rundingan dua hala antara pemaju dan penduduk mesti dilaksanakan secara adil bagi memastikan keputusan yang “win-win” dapat dicapai," katanya.


Beliau juga mahu Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Harun dan Tan Sri Annuar Musa selaku mantan Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah terkini dan Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri bertanggungjawab dalam kes tersebut bagi memperjuangkan hak orang Melayu.


"Saya akan mencadangkan agar pemilik mencabar penilaian ini di mahkamah dan Amanah sebagai komponen parti dalam PH akan memperjuangkannya bersama pemilik.


"Bagi kami, nilai pampasan serendah itu adalah satu kezaliman dan ia merupakan bukti kerajaan Melayu Islam yang diagungkan mereka tidak mementingkan rakyat Melayu Islam," katanya lagi.