Petani minta subsidi pesawah dibayar tunai, baucar
Jaringan Pengeluar Makanan Malaysia, gabungan persatuan pesawah, petani, nelayan dan penternak hari ini menghantar memorandum kepada kerajaan dan pembangkang di Parlimen meminta diwujudkan dasar yang lebih prihatin mengenai pengeluaran makanan negara.
Gabungan tersebut juga membawa bersama jurucakap persatuan pesawah, penternak dan petani.
Menurut wakil pesawah Malaysia yang mahu dikenali sebagai Abdul Rashidi, 300,000 pesawah di seluruh negara mahu subsidi ditukar daripada bekalan barangan pertanian dari agen tertentu kepada individu pesawah dengan pemberian tunai dan baucar.
“Kita menyuarakan untuk tukar subsidi yang ada kepada bentuk tunai dan baucar supaya lebih telus. Supaya subsidi terus kepada petani. Kalau kepada vendor 20 % untuk petani, 80% kita tak tau ke mana.
“Selain itu, kenaikkan kos pengeluaran padi pergi kepada pesawah. Ketika ini untuk mengekalkan harga runcit beras pada RM2.60 sekilo kerajaan beri subsidi kepada petani.
“Kebanyakan subsidi ini tidak diberi terus kepada pesawah sebaliknya syarikat terpilih, tetapi perkhidmatan pembekalan baja, benih berkualiti rendah, juga sering bekalan dihantar lewat,” katanya.
Beliau juga mahu insentif 80 sen sekilo untuk padi dan wang sara hidup kepada pesawah dikembalikan kerana kos ditanggung oleh petani semakin tinggi sedangkan harga beras dikawal kerajaan
Wakil penternak yang memperkenalkan diri sebagai Gandhi pula berkata penternak mengalami masalah serius iaitu polisi sebuah syarikat konglomerat pertanian yang tidak mahu ladang mereka dimasuki ternakan untuk meragut rumput, di samping kenaikan kos pengeluaran ternak.
“Kalau (pihak konglomerat) berjaya usir penternak maka bekalan daging tidak terjamin.
“Kenaikna harga dedak pula dalam masa 10 tahun naik 200% dari 2020 hingga sekarang naik 20%.
“Dedak biasa tahun 2020 harga RM40 sekarang RM73. Naik sekali ganda
“Banyak penternak tutup perniagaan. Kita gesa kerajaan selesaikan masalah ini segera,” katanya.
Beberapa Ahli Parlimen Pembangkang hadir untuk menerima memorandum seperti Datuk Mahfuz Omar, Chan Ming kai, Sim Tze Tzin, Dr Azman Ismail dan Hassan Abdul Karim.
Sim yang berucap bersetuju dengan usaha jaringan berkenaan bagi memperbaiki keadaan pengeluar makanan tempatan.
“Sepatutnya kita harus memperkasa para petani dan pesawah tetapi polisi kerajaan memudahkan pengimportan daripada memperkasa petani dalam negara.
“Contoh ada 8 juta hektar tanah peranian, 6 juta sawit, 1 juta getah dan tinggal satu juta kepada bahan makanan.
“Ini adalah dasar yang tidak seimbang menyebabkan pekebun kecil tidak dapat tanah dan peladang besar yang dapat,” katanya.
Manakala Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr. Jeyakumar Devaraj pula mahu pengeluar makan tidak ditindas. Kerajaan Negeri perlu menghentikan niat untuk merampas tanah pajakan atau TOL yang digunakan petani ketika bahan makanan melambung ketika ini.
“Kita mahu sesi Parlimen gubal satu resolusi minta negeri dan agensi kerajaan untuk jaga, jangan menindas pengeluar makanan. Jangan tekan kita. Jangan usir macam petani di Perak, ini akan musnahkan kapasiti kita keluarkan makanan untuk rakyat
“Dalam memorandum ini, walau harga penting, kapasiti kita keluarkan makanan lebih penting lagi
“Jangan buat sesuatu hancurkan kapasiti kita keluarkan makanan. Umpamanya bawa makanan murah dari Thailand atau Vietnam tetapi pengeluar kita rugi dan muflis,” katanya.
Memorandum itu juga diterima oleh wakil daripada pejabat Perdana Menteri. Namun tiada seorang pun wakil rakyat kerajaan BN – PN yang kelihatan turun mendengar luahan hati petani, nelayan, pesawah dan penternak.