Strategi menukar peguam semata-mata untuk menangguhkan sesebuah
kes perbicaraan adalah bertentangan dengan prinsip dan etika pengamal
undang-undang.
Perkara itu terkandung dalam Peraturan Majlis Peguam dan Kaedah
Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 yang digubal di bawah Akta
Profesion Undang-Undang 1976.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan
Kaedah 6 di bawah Kaedah Amalan Guaman akta tersebut antara lain mengatakan
seseorang peguam tidak boleh mengambil arahan guaman baharu melainkan dia sudah
bersedia untuk menghadiri mahkamah.
“Jadi berpandukan kaedah ini, Mahkamah Persekutuan boleh
bertanya kepada peguam kenapa dia bersetuju untuk mengambil kes yang tarikh
perbicaraannya telah ditetapkan.
“Jadi peguam tidak boleh katakan kepada mahkamah yang dia tidak
bersedia untuk mengambil kes kerana masih belum bersedia kerana baharu sahaja
mengambil alih kes,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Mohamed Hanif, hakim boleh memakai prinsip tersebut dalam
menggunakan budi bicaranya ketika memberikan keputusan terhadap sesuatu
permohonan penangguhan.