Sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan agama, teras utama membentuk kepelbagaian adalah hormat menghormati antara satu sama lain.
Demi keharmonian, setiap warganegara harus memelihara harga dirinya dan harga diri orang lain dengan cara berbuat kebaikan dan berpesan dengan ketaqwaan.
“Dan bekerjasamalah antara kamu diatas kebaikan dan ketaqwaan, janganlah bekerjasama atas dosa (kejahatan) dan permusuhan” (Al Maidah : 2 )
Akhir-akhir ini nilai hormat kepada pegangan agama seseorang di kalangan rakyat Malaysia semakin terhakis atas nama kebebasan bersuara.
Ada juga perbuatan menghina dibuat atas alasan kebencian sehingga menyakiti agama lain. Kedua-dua alasan ini dilarang oleh undang-undang dalam negara ini kerana ia boleh membawa sentimen permusuhan di kalangan rakyat.
Perbuatan menghina kepercayaan , keturunan mahupun sesuatu etnik perlu difahami rentas agama dan tidak eksklusif untuk agama tertentu sahaja.
Sebab itulah Syariat Islam menganjurkan dakwah dengan berhikmah dan berdebat dengan cara bertamadun dalam konteks silang agama.
Tujuan utama atau Maqasid berdakwah adalah mengekalkan keharmonian dan kerukunan berbagai agama dalam sesebuah masyarakat.
Kebebasan bersuara perlu diletakkan dalam acuan beradab, mengikut undang-undang negara dan dengan niat yang murni.
Ini bagi mengelak kebebasan bersuara disalahguna untuk tujuan benci membenci dan menimbulkan permusuhan di kalangan rakyat.
” Dan serulah ke jalan Tuhanmu (dakwah) dengan berhikmah dan dengan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan sesuatu pendekatan yang lebih baik, dan sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk” (Al Nahlu: 126)
Alasan berseni dalam konteks satira komedi seperti ‘standup comedy’ perlu mengambil kira betapa apa yang dikelakarkan dalam premis terhad itu dapat diakses secara meluas oleh mereka yang di luar sana melalui wahana sosial media
Hati-hati melahirkan ekpresi seni anda demi memelihara kerukunan sesebuah masyarakat yang sangat berpegang teguh kepada agama dan kepercayaannya.
Kita tidak boleh memaksa masyarakat kita menerima ekpresi kebebasan acuan Barat kerana kita bukan masyarakat Barat, kita ada acuan unik yang terbentuk sejak sekian lama.
Jangan salahkan keunikan masyarakat kita tetapi berkaryalah mengikut acuan kita dan budaya kita!
Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Parti AMANAH.